Media sosial hari ini dipenuhi dengan perkongsian video nyanyian duet pengacara Sharifah Shahirah, 46, dan anak perempuan Tallisya. Bukan kerana vokal mereka hebat, tetapi aksi anak beranak ini ternyata tak kering gusi.
Sebenarnya Shahira muncul dalam program terbaru terbitan TV3, Famili Duo. Mereka berdua menyanyikan lagu nyanyian asal Ratu Rock Malaysia, Ella berjudul Standing In The Eyes of The World.
Bukan sahaja penonton yang geli hati, malah dua juri iaitu Didie Alias dan Mark Adam juga ketawa melihat aksi bersahaja Shahira menyanyi.
Menurut Shahira, dia pada awalnya dia tidak begitu yakin untuk menyertai program tersebut namun setelah dipujuk oleh pihak produksi, dia kemudiannya mengubah fikiran.
Sedar terhadap komen negatif dari warganet, Shahira berharap semua yang menonton faham, program ini dicipta sekadar hiburan bukannya program serius.
“Ada juga yang komen saya buat program itu macam sampahlah sebab tak menyanyi betul-betul. Nama pun program hiburan, saya pula penghibur. Kalau mahu yang serius, ada program lain yang lebih serius,” katanya.
“Kalau ada yang tak suka dan kutuk tu, saya faham.
“Tak marah pun sebab sudah sememangnya saya ini bukan seorang penyanyi,” katanya. – Agensi
