Saya cergas bertemu Liverpool – Werner

BRIGHTON, UNITED KINGDOM, 15 SEPT – Timo Werner menegaskan dia akan bersemangat berdepan Liverpool Ahad ini selepas penyerang baharu Chelsea itu menamatkan kemenangan 3-1 di Brighton dengan ketulan ais diletakkan di pahanya.

Werner menandakan penampilan sulung dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan mendapatkan penalti yang disempurnakan Jorginho, seterusnya meletakkan Chelsea di depan, namun bintang Jerman itu cedera selepas dihalang penjaga gol Brighton, Mat Ryan.

Pemain berusia 24 tahun itu ditandatangani dari Leipzig, masih boleh bermain keseluruhan 90 minit walaupun mengalami kesakitan dan menyerlah bersama Chelsea.

Ketika temubual selepas wisel penamat, Werner menjangkakan dia akan pulih bagi menanti kunjungan juara EPL, Liverpool.

“Lutut penjaga gol terkena otot dan ia sangat kuat,” kata Werner kepada Sky Sports.

“Baki keseluruhan permainan ia amat menyakitkan. Saya tidak boleh lakukan sebahagian gerakan kerana ia membuatkan otot sangat sakit, tapi akhirnya saya gembira kami menang.

“Saya tidak peduli mengenai ini. Dalam tempoh seminggu ia akan okey. Kami bermain dengan baik hari ini, kami lakukan dengan bagus, dan saya gembira mendapatkan penalti itu kerana ia penting bagi permainan kami.” – AFP

Aksi Timo Werner ketika mengawal bola sambil dihalang oleh pemain Brighton pada perlawanan awal pagi kelmarin di Stadium Falmer, England . – AP