PUTRAJAYA, 22 Mei — Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, hari ini, berkata bahawa dia hampir mati dalam menyiasat kes SRC International dan takut untuk kembali ke SPRM.
Namun, katanya, selepas melihat situasi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau memberanikan diri untuk memikul tanggungjawab yang diAmanahkan kepadanya itu kerana menganggap ia adalah untuk negara Malaysia.
Mohd Shukri dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu oleh Dr Mahathir pada Isnin lepas bagi menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meletakkan jawatan berkenaan pada hari sama dan kembali ke Pejabat Peguam Negara.
“Saya kembali (ke SPRM) hanya untuk menyelesaikan tugas yang tertangguh,” katanya pada sidang media khas SPRM di sini, hari ini.
Beliau berkata itu adalah syarat yang dinyatakan kepada Dr Mahathir selepas menerima tawaran jawatan berkenaan.

Mohd Shukri berkata ketika dipanggil Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), terdapat dua lagi calon bagi jawatan ketua pesuruhjaya SPRM iaitu Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid.
“Kami bertiga telah berbincang dan masing-masing mahu menolak jawatan nombor satu SPRM itu kerana tidak mahu mengendalikan kes-kes. Kami telah dipanggil seorang demi seorang oleh (Tun) Dr Mahathir untuk berbincang mengenai tawaran jawatan KP SPRM dan saya merupakan orang pertama yang dipanggilnya.
“Alasan saya menolak kerana saya telah bahagia hidup sebagai seorang pesara dan mempunyai seorang cucu yang saya amat sayangi, namun segalanya berubah apabila Mahathir bertanya: “Adakah anda terima tawaran saya, kalau begitu, esok (anda) boleh mula (bertugas)?” katanya.
Bagaimanapun, hasrat Mohd Shukri untuk terus menikmati persaraannya terbantut setelah soalan berkenaan diajukan kepadanya dan beliau mengakui sukar untuk menyatakan ‘tidak’ kepada individu berusia 92 tahun itu yang masih berkhidmat untuk negara. – Bernama