Tuesday, July 22, 2025
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Saya jual, bukan minta sedekah’

    Aksi pelakon Raffi Ahmad memborong kacang seorang peniaga di Kelapa Gading, Jakarta Utara, Indonesia, menerima pujian warganet apabila dianggap sebagai usaha membantu golongan peniaga kecil.

    Namun tidak lama kemudian, peniaga berkenaan tampil memberikan penjelasan dia tidak bersetuju dengan tanggapan kononnya dia telah menerima bantuan daripada Raffi.

    “Saya jual kacang, bukan minta sedekah. Keseluruhan harga kacang yang dibeli bernilai RM46.80, kemudian dia membayar sebanyak RM65. Jadi saya pulangkan bakinya sebanyak RM18.20,” jelasnya dalam sebuah video yang tular di media sosial.

    Menurutnya, apa yang berlaku hanyalah urusan jual beli biasa dan bukan bantuan seperti yang digambarkan oleh orang ramai, lapor mStar.

    Peniaga itu turut meluahkan rasa kesal terhadap naratif yang disebarkan, seolah-olah dirinya tidak berdikari dalam berniaga.

    Ketika diminta mengulas mengenai perkara itu, Raffi memilih untuk tidak memperbesar-besarkan isu yang timbul.

    “Kita doakan ibu selalu,” katanya ringkas.

    Sikap tenang dan matang Raffi turut dipuji warganet yang menghargai cara dirinya menangani kontroversi berkenaan tanpa sebarang reaksi negatif.

    Dalam sebuah video lain, pembantu Raffi tampil memberi penjelasan dengan mengatakan tiada sebarang niat untuk menunjuk atau merendahkan sesiapa.

    Sebaliknya, apa yang dilakukan hanyalah semata-mata untuk membeli, bukannya memberi bantuan seperti yang disalahertikan sesetengah pihak. – Agensi

    Raffi Ahmad memborong kacang seorang peniaga, baru-baru ini. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda