Thursday, February 6, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Saya kurang berminat watak hero romantik’

    Aktor sensasi, Sharnaaz Ahmad, 36, antara pelakon lelaki yang sering menggalas tugasan watak utama dalam drama romantik dan percintaan.

    Deretan drama seperti Bicara Hati, Bukan Kerana Aku Tak Cinta, Mencintaimu, Awak Sangat Nakal, Lelakimu Yang Dulu dan banyak lagi mengangkat Sharnaaz sebagai hero romantik.

    Namun, kini watak hero romantik bagaikan tidak menarik minatnya, bahkan Sharnaaz menjadi seorang yang selektif dalam tawaran lakonan.

    Mula dikenali menerusi watak Lan Todak dalam drama Juvana, Sharnaaz berkata, dia inginkan naskhah lebih mencabar dan lain daripada kebiasaan karakter dibawa.

    “Saya masih menerima tawaran menjayakan drama kisah cinta seperti sebelum ini.

    Sharnaaz berkata, dia inginkan naskhah lebih mencabar dan lain daripada kebiasaan karakter dibawa. – Agensi

    Namun, jujurnya, saya sudah kurang berminat dengan watak hero romantik.

    “Bukan apa, saya boleh sahaja melakukannya, tetapi saya jadi mengantuk bila ke lokasi penggambaran.

    “Saya mahukan bila ke lokasi, saya boleh jalankan kerja berat dan mencabar. Daripada pergi set untuk babak romantik, jadi apa, itulah maksud saya.

    “Jadi, agak susah untuk saya terima, susah nak cakap pun ada. Saya mungkin boleh ambil, tetapi perlu melihat jalan cerita terlebih dahulu,” katanya kepada media.

    Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad berkata, sebaiknya drama kisah cinta diberikan kepada pelakon muda yang baru menapak dalam industri lakonan.

    Bagi penerima trofi Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-29 itu, kehendak dan cita rasa penonton masa kini juga sudah berubah, jadi dirinya perlu akur.

    “Kalau naskhah berat, saya akan terima. Jika setakat jalan cerita biasa dan mudah, berilah kepada pelakon muda. Ini juga boleh dikira sebagai peluang untuk pelakon baharu membawa watak utama.

    “Lagipun, penonton suka kisah cinta yang dibarisi pelakon muda yang ada paras rupa. Macam saya, muka sudah keras, jadi kita kenalah terima kehendak penonton.

    “Jadi, jangan terasa bila pelakon baharu mula mendapat perhatian. Bagi saya, apa yang penting adalah bakat.

    “Kalau tiada bakat, beri tapak kasut sahaja,” seloroh Sharnaaz.

    Sementara itu, Sharnaaz berkata, dia agak cerewet dalam soal memilih pasangan sekiranya ditawarkan membintangi drama kisah percintaan. Malah, katanya, heroin perlulah mempunyai bakat lakonan yang bagus. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda