Khamis, November 20, 2025
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Saya masih sahabat Fazura’ – Fasha

    Belum sempat berhubung antara satu sama lain, pelakon Fasha Sandha menjelaskan hubungannya dengan Nur Fazura dalam keadaan baik.

    Fasha atau Nur Fasha Sandha Hassan, 41, berkata dia masih menganggap Fazura sebagai sahabatnya meskipun pernah diserang peminat gara-gara menghadiri majlis resepsi bekas suaminya, Fattah Amin dan Amira Othman.

    Jelasnya, apa yang berlaku sebelum ini berpunca daripada tindakan segelintir peminat fanatik yang terlalu beremosi.

    “Sejujurnya saya tidak mahu cakap lebih sangat sebab takut nanti orang lain salah faham. Apa yang saya katakan, saya masih sahabat dia. Kami masih mengikuti antara satu sama lain. Mungkin peminat sahaja yang beremosi.

    “Pada pendapat saya, Fazura mahupun Fattah telah pun ‘move on’. Mereka ada kebahagiaan dan kehidupan masing-masing. Kami pun sudah lama tidak berjumpa dan tidak sempat berhubung antara satu sama lain. Lebih baik kita tunggu masa yang sesuai,” katanya ketika ditemui mStar.

    Fasha memaklumkan perkara itu ketika ditemui semasa pelancaran butik baharu jenama pakaian She Dazzle kelmarin. Ketika ditanya mengenai kesan insiden tersebut, Fasha enggan mengulas lanjut namun bersyukur kerana kini tidak lagi menerima serangan siber daripada peminat.

    “Saya tidak mahu komen lebih, itu sahaja komen saya. Takut nanti orang kata saya lebih-lebih. Kita nak hidup harmoni sahaja. Sekarang pun Alhamdulillah sudah tiada serangan kepada saya sebab mereka tahu yang saya natural, baik dengan semua. Hidup lebih tenang dan harmoni,” ujarnya.

    Dalam masa sama, Fasha meminta supaya peminat mendoakan yang terbaik buat Fazura dan Fattah demi kesejahteraan anak mereka iaitu Fatima.

    “Doakan keluarga mereka harmoni sahaja. Itu adalah lebih baik.  Janganlah buat penilaian yang bukan-bukan. Sebab kadang-kadang disebabkan itu, ia boleh membuatkan orang yang tiada masalah, tiba-tiba bermasalah. Sebaiknya doakan yang baik-baik,” katanya. – Agensi

    Fasha mohon peminat mendoakan yang terbaik buat Fazura dan Fattah. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda