Ramai orang tahu Zulin Aziz (gambar bawah) merupakan seorang artis yang cukup versatil. Siapa boleh menidakkan keupayaan Zulin berlakon, berlawak, membuat parodi, menjadi pengacara dan penyampai radio serta handal di dapur.
Zulin atau nama sebenar, Farah Azleenda Abdul Aziz, 30, turut berbakat mencipta lagu dan suka menyanyi. Buktinya, Zulin muncul dengan single keenam berjudul Followback. Apa yang menarik, kali ini, Zulin mencuba genre dangdut moden.
“Saya menyanyi suka-suka… Tidak serius pun. Jauh sekali hendak meletakkan sasaran menyertai Anugerah Juara Lagu (AJL) dan sebagainya.
“Mungkin saya lebih suka dunia komedi, barangkali. Namun, tidak mengapa, saya suka berkongsi bakat yang ada.
“Tidak semua perkara kita buat semuanya berpaksikan keuntungan atau duit semata-mata.
“Misalnya, orang suka tengok video parodi dan komedi saya di Instagram (IG). Saya seronok menghiburkan hati orang.
“Diri sendiri sedih tidak mengapa. Sekurang-kurangnya boleh menghiburkan orang yang berduka apatah lagi dalam situasi sekarang,” katanya kepada media.
Zulin berkata, single Followback yang dicipta Februari lalu, berkisar individu yang ‘angau’ apabila seseorang diminati menjadi pengikut di IG.
“Mengikut perancangan lagu ini hendak dilancarkan bulan ini. Tidak sangka kita diuji dengan penularan wabak COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Bagi mempromosikan Followback, Zulin mengambil inisiatif menganjurkan peraduan berbentuk parodi dengan ganjaran wang tunai.
Mengenai aktiviti sepanjang Ramadan, Zulin sibuk dengan rutin menghasilkan video termasuk membuat reviu produk.
“Selain itu, saya suka memasak termasuk membabitkan komitmen dengan rencah produk Maggi. Jadi, saya mesti sentiasa berkongsi resipi,” katanya.
Zulin beruntung kerana sepanjang tempoh PKP, dia tidak sendirian di rumah. Sebaliknya, kakak angkat dan dua adik kandung menemani selepas mereka terkandas dan tidak dapat pulang ke rumah masing-masing. – Agensi