Saya sepatutnya jaring lebih banyak gol – Rooney

LONDON, 19 APRIL – Wayne Rooney merupakan pemegang rekod penjaring terbanyak buat Manchester United dan England tetapi dia percaya bahawa dia sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol semasa kariernya, walaupun dia bukan seorang penjaring semula jadi.

Rooney, remaja sensasi dari Everton, menyertai United pada tahun 2004 dan menjaringkan 256 gol dalam 559 penampilan semasa berada di OldTrafford selama 13 tahun dan memenangi beberapa buah piala.

Rooney mengatasi pemenang Piala Dunia 1966, Bobby Charlton sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman United, dan menjadi penjaring terbanyak buat England dengan 53 gol dalam 120 penampilan.

Pemain berusia 34 tahun, yang kini menjadi pemain/jurulatih bagi kelab DerbyCounty, menambah: “Saya bukan Gary Lineker atau Ruud van Nistelrooy, saya tidak melihat diri saya sebegitu.

“Saya memegang rekod penjaring terbanyak Manchester United dan England dan saya sangat berbangga mengenainya – tetapi terdapat pemain nombor sembilan yang lebih baik daripada saya.

Gambar fail Rooney beraksi untuk England. Wayne Rooney percaya dia sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol semasa kariernya bersama United dan England. – AP

“Bagaimana saya menjadi pemecah rekod jika saya bukan penjaring gol sejati?” jelas Rooney

“Saya bermain dengan United selama 13 tahun, 15 tahun untuk England. Saya mempunyai masa untuk memecahkan rekod tersebut – dan melihat kembali saya sepatutnya menjaringkan lebih banyak.”

Rooney menyokong Harry Kane untuk memecah rekod England, meskipun dia lebih suka melihat penyerang Tottenham Hotspur kekal menjadi pemain nombor sembilan selepas melihat dia dijatuhkan dalam dua musim kebelakangan.

“Saya tidak rasa ia akan mengambil masa yang lama bagi Harry Kane untuk memecahkan rekod England saya dan ia akan menjadi momen yang membanggakan bagi saya,” katanya.

“Saya tidak pernah menjadi pemain yang tamak dan ia lebih hebat buat England untuk Harry untuk memecahkannya. Bobby Charlton terpaksa menunggu 50 tahun (untuk Rooney memecahkan rekod England) – saya harap ia tidak lama untuk saya.

“Rekod United mungkin akan kekal lebih lama kerana pemain tidak bermain untuk kelab dengan begitu lama seperti dahulu.

“Harus difikirkan, jika (Lionel) Messi atau (Cristiano) Ronaldo beraksi di Old Trafford mereka mungkin akan memecahkannya dalam masa tiga atau empat tahun.” – AFP