Monday, March 3, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Saya suka enjin dan mesin’

    Pelakon legenda Hong Kong, Chow Yun Fat, 69, mendedahkan sisi dirinya yang kurang diketahui walaupun terkenal dengan gaya hidup sederhana termasuk menikmati makanan jalanan dan menggunakan pengangkutan awam.

    Menurut Harian Metro, Chow berkata, rahsia yang dipendam sekian lama tanpa berkongsi kepada umum adalah minat mendalamnya terhadap kereta mewah pada masa lalu.

    Menurutnya, dia pernah membeli kereta Rolls-Royce terpakai dan berbangga memandunya setiap hari.

    Malah, pembelian kereta itu bukan untuk bermegah dengan kekayaan, sebaliknya kerana minat mendalam terhadap kereta.

    “Saya mahu memahami bagaimana enjin V8 mampu menggerakkan kereta berat seperti itu, tetapi masih memberikan pemanduan yang begitu lancar.

    Chow membeli kereta bukan untuk bermegah dengan kekayaan, sebaliknya kerana minatnya yang mendalam terhadap kereta. – Asiaone

    “Pada ketika itu, kereta terpakai sangat murah. Jadi selepas membelinya, saya akan ‘membedah’ bersama mekanik dan mempelajari enjin itu bersama-sama.

    “Saya tidak membeli kereta untuk menunjuk-nunjuk, tetapi saya memang sukakan enjin dan mesin,” katanya.

    Chow membuat pendedahan itu selepas tampil dalam program YouTube, The Do Show kendalian hos terkenal Hong Kong, Carol Cheng, bagi mempromosikan filem terbaharunya Detective Chinatown 1900.

    Pada masa sama, pada kemuncak kerjayanya, Chow memiliki enam kereta mewah vintaj termasuk model daripada Mercedes-Benz dan BMW.

    Kereta perkahwinannya ketika berkahwin dengan pelakon Candice Yu pada 1983 ialah Rolls-Royce Silver Dawn.

    Namun, dia sedar memiliki banyak kereta vintaj adalah tidak praktikal kerana memerlukan penyelenggaraan berterusan.

    “Lebih banyak masa dihabiskan untuk membaiki daripada memandu kereta. Saya juga tidak mempunyai masa untuk menjaga semua kereta itu, jadi saya menjual semuanya,” katanya. Kini, Chow memilih menggunakan kereta elektrik mesra alam sebagai kenderaan hariannya. – Agensi

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda