Saya suka, nak menang – Izuan Fitri

Meskipun belum mampu bertutur dengan lancar, pelakon remaja, Izuan Fitri, 19, tetap menyuarakan keterujaan apabila mengetahui namanya membolosi senarai Top 5 bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-34.

Dalam meluahkan kata-kata, Izuan bersuara menyatakan kegembiraan apabila mengetahui namanya menerima undian peminat.

“Suka, saya gembira… Saya nak menang,” katanya.

Selain Izuan, kategori Pelakon Filem Lelaki Popular menyaksikan persaingan antara Fattah Amin, Sharnaaz Ahmad, Syafiq Kyle dan Syahmi Syazli.

Sementara itu, ibu Izuan, Nor Abdul Rani, 57, terharu anak bongsunya itu berjaya menempatkan diri dalam senarai lima popular ABPBH 34.

Izuan Fitri tersenarai dalam Top 5 bagi kategori Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34. – Agensi

“Jujurnya, saya seperti tidak percaya pun ada. Dengan kelayakan ini, saya kira ramai masih menyokong Adik (Izuan), memandangkan ABPBH berdasarkan undian peminat.

“Selama ini Adik fikir dirinya tidak diminati dan tiada peminat. Malah, saya tak rasa Adik akan menerima banyak undian kerana siapalah Adik jika nak dibandingkan dengan nama besar yang begitu gah dalam persada seni.

Berkongsi mengenai perkembangan Izuan, Nor berkata, anaknya kini banyak terbabit dalam sesi terapi.

“Adik sekarang sibuk pergi sesi terapi. Dalam pada itu, otaknya masih ada sedikit bengkak lagi.

“Jadi, pemeriksaan akan dilakukan dalam tempoh dua bulan lagi. Jika semuanya beransur pulih, doktor akan memasang tempurung pada kepala Adik.

“Bagaimanapun, sebelah paru-paru Adik sudah rosak disebabkan jangkitan kuman akibat penyakit tibi atau batuk kering. Doktor mengesahkan ia sukar untuk pulih,” katanya.

Terdahulu, Izuan dibenarkan pulang ke rumah pada 20 September lalu selepas menerima rawatan di Institut Perubatan Respirasi (IPR).

Izuan dikejarkan ke Hospital Selayang selepas diserang sawan pada 31 Julai lalu, sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan selamat menjalani pembedahan pada bahagian otak pada 5 Ogos lalu.

Bagi terus memantau keadaan kesihatannya, pelakon remaja itu dipindahkan pula ke IPR untuk pemeriksaan dan penjagaan rapi pada penghujung Ogos lalu. – Agensi