‘Saya tak tahu masalah mereka’

“Saya tak campur hal rumah tangga mereka.” Itu jawapan aktres jelita, Erra Fazira ketika diminta mengulas berita perceraian bekas suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin dengan Laudya Cynthia Bella yang hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Biarpun mengaku tahu pergolakan antara mereka pada peringkat awal, Erra bagaimanapun mendakwa, tidak tahu dengan mendalam masalah yang terjadi.

“Mereka tidak pernah bercerita dengan mendalam. Tipulah saya tidak tahu pergolakan yang berlaku.

“Walaupun dia bekas suami dan bapa kepada anak, saya tak mahu korek (bertanya lanjut). Cukup tahu sikit-sikit pada peringkat permukaan. Saya tidak pernah tanya kenapa, apatah lagi mengorek lebih lanjut.

“Sebagai wanita, kami ada berbicara melalui teks (mesej) tetapi hanya perkara-perkara umum sahaja, tidak begitu terperinci.

Erra mengaku mengetahui pergolakan rumah tangga bekas suaminya pada peringkat awal. – Agensi

“Bella tidak bercerita lebih kepada saya. Memang kami rapat, tapi tidaklah selalu berhubung,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelantikan dirinya sebagai duta produk penjagaan rambut, Faith Fleur.

Pada 1 Julai lalu, desas-desus keretakan rumah tangga Engku Emran dan Laudya terjawab selepas bintang Indonesia itu mengaku mereka sudah berpisah.

Memetik laporan agensi berita Indonesia, Laudya membuat pengakuan bercerai dengan Engku Emran ketika ditemu ramah portal berita, Insertlive.com di republik itu.

Kompas.com melaporkan, Bella mengaku bercerai secara baik-baik dengan Engku Emran.

Erra percaya apa yang terjadi antara Engku Emran dan Laudya ada hikmah tersendiri.

“Dalam setiap pahit, ada hikmah dan manisnya. Allah uji kerana sayang. Ada ganjarannya… Bersabar sahaja,” katanya.

Erra berkata, anak perempuannya, Engku Aleesya turut berduka dengan berita perceraian bapanya.

“Saya sedar Aleesya sedih dengan berita itu. Dia pun sayang Bella. Saya percaya bapanya pun bersedih dengan apa yang berlaku,” katanya. – Agensi