Saturday, May 10, 2025
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saya tidak beraksi teruk – Woods

    SAINT-QUENTIN-EN-YVELINES, Perancis, 30 Sept – Tiger Woods menyatakan dia ‘tidak bermain teruk’ semalam, walaupun mengalami kekalahan ketiga berturut-turut pada Piala Ryder 2018 di Le Golf National dengan Eropah mendahului Amerika Syarikat (AS) 10-6 sebelum aksi perseorangan.

    Pemenang 14 kejuaraan utama itu dan Patrick Reed tewas buat kali kedua dalam acara fourballs kepada Francesco Molinari dan Tommy Fleetwood 3 dan 4 pada sebelah pagi sebelum Woods bergandingan dengan Bryson DeChambeau juga diatasi oleh gandingan sama dalam acara foursomes 4 dan 5 pada lewat hari ini.

    Woods antara bintang utama di Perancis minggu ini selepas kembali merakam kemenangan hujung minggu lalu, iaitu gelaran pertamanya sejak 2013 selepas dibelenggu kecederaan berulang.

    Bagaimanapun Woods bukanlah pemain Piala Ryder yang kuat apabila bergandingan, walaupun pada tahap prestasi terbaiknya, yang mana setakat ini dia hanya menang sembilan, tewas 19 kali dan seri sekali daripada 29 perlawanan fourballs dan foursomes sepanjang sejarah kejohanan itu.

    Namun Woods boleh dianggap kurang bernasib baik kali ini apabila digandingkan dengan Reed yang gagal menyerlah dan diundi bertemu gandingan mantap Molinari-Fleetwood sebanyak tiga kali.

    “Memang mengecewakan, saya tewas tiga perlawanan tapi hakikatnya saya tidak rasa saya bermain dengan teruk,” kata Woods.

    “Ia perkara yang mengecewakan mengenai perlawanan. Anda boleh bermain dengan baik dan tidak berlaku apa-apa. Kami bertembung dua pemain yang bermain dengan baik dan apabila seorang tidak menjadi, seorang lagi membuat birdie, atau sebaliknya.

    “Kerap kali mereka melakukannya terhadap kami. Pada satu ketika, mereka mencatat enam birdie daripada lapan birdie di sembilan lubang terakhir dan hanya seorang pemain melakukannya pada satu masa. Itu yang terjadi dalam permainan.”

    AS perlu menyamakan rekod kemenangan Piala Ryder jika mereka mahu mempertahankan trofi itu hari ini, selepas kemenangan mendebarkan mereka pada 1999 ‘Pertempuran Brookline’ dan kejayaan Eropah enam tahun lalu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda