Monday, December 16, 2024
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Saya tidak cukup bagus – Guardiola

    MANCHESTER, 16 DIS – Pep Guardiola mengakui dia tidak menyangka kejatuhan mengejutkan Manchester City selepas bolos dua kali untuk tewas 2-1 kepada Manchester United kelmarin.

    City hanya menang sekali dan kalah lapan kali dalam 11 perlawanan.

    Selepas memenangi empat kejuaraan Liga Perdana berturut-turut, nampaknya dominasi City kelihatan bakal berakhir sebelum Krismas.

    Kini anak buah Guardiola berada di tangga kelima dengan sembilan mata mengekori pendahulu Liverpool yang mempunyai kelebihan satu perlawanan dan turut berada di luar kelayakan Liga Juara-Juara.

    “Saya tidak mempunyai pertahanan, saya bos, saya pengurus. Saya perlu mencari penyelesaian dan saya tidak menemuinya,” kata Guardiola.

    “Ini kelab besar, apabila anda tewas lapan daripada 11, sesuatu yang tidak kena sedang berlaku. Apa yang boleh saya katakan? Jadualnya sukar, pemain yang cedera? Tidak.

    “Saya bos, saya pengurus dan saya tidak cukup baik. Ia semudah itu,” balasnya.

    Kekalahan City kali ini adalah yang paling perit kerana juara Inggeris itu hampir menang menerusi tandukan Josko Gvardiol pada separuh masa pertama.

    Bagaimanapun, mereka dihukum penalti apabila hantaran lemah Matheus Nunes membuka peluang Amad Diallo dan pemain tengah Portugal itu terpaksa menjatuhkan pemain sayap United itu untuk menebus kesalahannya.

    Bruno Fernandes menyempurnakan penalti untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-88.

    Diallo kemudiannya melengkapkan kemenangan dengan jaringannya dan memecahkan dominasi City sejak sedekad lalu.

    “Saya tahu bahawa ia akan menjadi musim yang sukar. Dari awal, saya berkata banyak kali. Walaupun ketika kami menang. Tetapi saya tidak sangka ia akan menjadi begitu sukar, seperti sekarang,” ujar Guardiola.

    Pemain tengah City, Bernardo Silva pula lebih kritikal terhadap kelemahan pasukannya apabila membandingkan kesilapan mereka pada minit akhir seperti pasukan bawah 15 tahun.

    “Jika kami membuat keputusan bodoh ini dengan baki tiga atau empat minit, kami harus terima padahnya. Hari ini pada minit terakhir kami bermain seperti bawah 15 tahun,” kata pemain antarabangsa Portugal itu. – AFP

    Reaksi Pep Guardiola semasa perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Manchester City dan Manchester United di Stadium Etihad, Manchester kelmarin. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda