WASHINGTON, 1 JUN – Elon Musk kelmarin menafikan laporan bahawa dia menggunakan ketamin dan dadah lain secara meluas tahun lepas semasa kempen 2024.
The New York Times melaporkan pada hari Jumaat bahawa penasihat bilionair kepada Presiden Donald Trump tersebut menggunakan terlalu banyak ketamin dan ubat bius yang kuat sehingga dia mengalami masalah pundi kencing.
Akhbar itu berkata orang terkaya di dunia tersebut juga mengambil bahan-bahan terlarang dan mengembara bersama kotak ubat sambil menambah bahawa tidak diketahui sama ada Musk turut mengambil dadah semasa mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) selepas Trump berkuasa pada Januari.
Dalam catatannya di X kelmarin, Musk menulis: “Untuk menjelaskan keadaan, saya TIDAK mengambil dadah! The New York Times berbohong.”
Dia menambah: “Saya mencuba ‘preskripsi’ ketamin beberapa tahun lalu dan berkata demikian pada X, jadi ini bukanlah berita. Ia membantu untuk keluar dari lubang mental yang gelap, tetapi (kini saya) tidak mengambilnya lagi.”
Musk mula-mula mengelak soalan mengenai penggunaan dadah semasa tampil acara perpisahan dengan Trump di Pejabat Oval, Jumaat lalu di mana bos Tesla dan SpaceX tersebut mempunyai lebam mata hitam yang ketara ketika dia ditamatkan perkhidmatan dalam DOGE secara rasmi.
Berita mengenai penggunaan bahan terlarang juga menarik perhatian ramai sewaktu Times melaporkan tingkah laku pelik Musk memberi memberi tabik hormat ala Nazi tahun lalu.
Musk berkata, dia mendapat kecederaan itu ketika bergurau bersama anak lelakinya yang bernama X, apabila dia menyuruh kanak-kanak itu memukul mukanya.
Kemudian Jumaat lalu, seorang wartawan bertanya kepada Trump sama ada dia sedar tentang “penggunaan dadah oleh Musk,” Trump menjawab: “Saya tidak tahu.”
“Saya rasa Elon seorang lelaki yang hebat,” tambahnya.
Musk sebelum ini pernah mengaku mengambil ketamin untuk merawat ‘kerangka fikiran negatif’ dan mengatakan dia mendapat manfaat melaluinya semasa berkerja. – AFP
