MADRID, 22 APRIL – Rafael Nadal menegaskan kelmarin bahawa dia tidak ‘rindukan tenis’ selepas dianugerahkan dengan anugerah Ikon Sukan di Anugerah Sukan Dunia Laureus, Madrid.
Pemain tenis Sepanyol berusia 38 tahun itu, pemenang 22 trofi Grand Slam, termasuk 14 di Roland Garros, bersara daripada sukan itu selepas perlawanan terakhirnya di Piala Davis, Malaga pada November.
“Sebenarnya, saya tidak rindukan tenis. Langsung. Saya tidak rindukannya sama sekali,” kata Nadal kepada pemberita.
“Tetapi bukanlah kerana saya sudah penat bermain tenis atau menentang sukan tenis, tidak sama sekali.
“Saya telah menamatkan kerjaya saya dengan gembira dan jika boleh, saya akan teruskan bermain, kerana saya suka apa yang saya lakukan.
“Ia adalah keghairahan saya dan itu berlaku sepanjang hidup saya. Cuma apabila awda menyedari bahawa secara fizikal awda tidak boleh melakukannya lagi, awda cuba menutup bab itu. Dan saya telah menutupnya.”
Nadal mengalami banyak kecederaan sepanjang kariernya tetapi enggan bersara dan bertahan selama mungkin.
“Saya tangguh membuat keputusan muktamad kerana saya memerlukan masa untuk memastikan ia adalah keputusan yang betul.
“Apa yang sukar ialah apabila saya duduk di sofa dan tertanya-tanya sama ada saya perlu terus bermain.
“Apabila saya melihat badan saya tidak akan pulih ke tahap yang saya perlukan untuk terus seronok bermain di gelanggang, maka saya telah buat keputusan untuk berhenti.
“Itulah sebabnya saya tidak merinduinya,” tambah Nadal. “Kerana saya tenang dengan fikiran bahawa saya telah memberikan segala-galanya dan badan saya tidak dapat memberi apa-apa lagi.” – AFP
