Wednesday, October 23, 2024
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sayap dua pesawat berlanggar di Lapangan Terbang Haneda

    TOKYO, 23 MEI – Hujung sayap dua pesawat penumpang Japan Airlines (JAL) berlanggar di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo pada pagi tadi, lapor Xinhua.

    JAL menyatakan kejadian berlaku sekitar 7:30 pagi. Kedua-dua pesawat mengalami kerosakan, tetapi tiada kecederaan dilaporkan, menurut penyiar awam NHK.

    Penerbangan JAL 503, yang menuju ke Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido, sedang berundur dari tempat parkirnya apabila ia melanggar sebuah pesawat yang sedang bergerak ke tempat parkir bersebelahan.

    Terdapat 328 penumpang dalam Penerbangan 503, yang dibatalkan manakala pesawat yang satu lagi tidak mempunyai penumpang dan penerbangannya ditunda untuk menukar pesawat, menurut laporan.

    Insiden itu adalah yang terkini dalam siri perlanggaran di lapangan terbang baru-baru ini.

    Pada 2 Januari lalu, sebuah jet penumpang JAL bertembung dengan pesawat Pengawal Pantai Jepun di Lapangan Terbang Haneda, menyebabkan lima daripada enam kru pesawat Pengawal Pantai terkorban.

    Pada 16 Januari lalu, pesawat Korean Air melanggar pesawat Cathay Pacific yang diletak di Lapangan Terbang New Chitose dan pada 1 Februari, sayap dua jet penumpang All Nippon Airways berlanggar di sebuah lapangan terbang di Osaka. – Xinhua

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda