INDIA, 4 NOV – Scammer di India telah membuka dan menjalankan cawangan palsu bank terbesar di negara itu iaitu State Bank of India (SBI), selama 10 hari bagi memperdaya orang ramai untuk membuat pembayaran bagi mendapatkan pekerjaan yang stabil di sana.
Penduduk di Chhapora, sebuah perkampungan di wilayah Chhattisgarh, India, terkejut melihat cawangan bank itu dibuka di perkampungan mereka yang miskin.
Meskipun ada yang merasa skeptikal sejak awal, namun ramai daripada kalangan penduduk melihatnya sebagai peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang stabil dan gaji lumayan, lapor Oddity Central.
Pintu Dhurve, 25, salah seorang daripada enam yang diterima bekerja sebagai juruwang di ‘cawangan’ SBI yang baru dibuka, di mana dia dibayar AS$6,900.
Akan tetapi terdapat beberapa perkara yang mencurigakan, seperti tidak banyak kerja yang perlu dibuat dan tiada kad ID diberikan kepada kakitangan.
Selama 10 hari berturut-turut, enam orang kakitangan SBI di Chhapora datang bekerja tanpa melakukan sebarang tugasan. Pengurus cawangan, yang kebiasaannya datang pukul 10 dan pulang semasa tengah hari, memberitahu mereka untuk melayari laman sesawang SBI dan membaca mengenai bank dan protokolnya.
Suatu hari, pengurus langsung tidak datang kerja dan polis menyerbu bersama kakitangan SBI yang sebenar lalu memberitahu bahawa tempat mereka bekerja ini adalah satu penipuan.
“Pengurus dari cawangan Dabra memaklumkan kami yang curiga mengenai bank palsu yang beroperasi di Chhapora. Selepas siasatan, polis mengesahkan bahawa bank tersebut adalah palsu, dan beberapa orang kakitangannya telah dilantik dengan dokumen palsu,” kata jurucakap polis, Rajesh Patel. – Agensi