BRENTONICO SAN VALENTINO, 28 MEI – Christian Scaroni muncul juara bagi peringkat ke-16 perlumbaan Giro d’Italia, manakala Isaac Del Toro kekal sebagai pendahulu keseluruhan meskipun bergelut di laluan mencabar di pergunungan Alps yang menyaksikan ramai pelumba utama mengalami kemalangan atau terjejas prestasi.
Antara pelumba yang tidak bernasib baik adalah bekas juara, Primoz Roglic, yang akhirnya menarik diri daripada perlumbaan selepas mengalami kemalangan keempat dalam edisi kali ini. Richard Carapaz turut terlibat tetapi berjaya meneruskan perlumbaan.
Scaroni dan rakan sepasukan Astana dari Itali, Lorenzo Fortunato, menjadi dua pelumba terakhir yang bertahan daripada satu cubaan awal untuk memisahkan diri daripada peloton.
Mereka menamatkan perlumbaan 203km dari Piazzola sul Brenta ke San Valentino sambil berpegangan tangan di garisan penamat.
“Kami sudah berbincang dan dia (Fortunato) bersetuju untuk berikan kemenangan ini kepada saya. Dia memang rakan luar biasa,” kata Scaroni.
Kemenangan itu menjadikan Scaroni pelumba Itali pertama yang memenangi satu peringkat dalam edisi Giro tahun ini, manakala Fortunato mengukuhkan kedudukannya dalam klasifikasi Raja Bukit.
Di belakang mereka, Carapaz, Derek Gee dan Simon Yates masing-masing melancarkan serangan lewat yang tidak mampu dibalas oleh Del Toro. Namun, pelumba muda dari Mexico berusia 21 tahun itu kekal berusaha dan berjaya mempertahankan jersi merah jambu, walaupun kelebihan keseluruhannya berkurang kepada 26 saat di hadapan Yates dan 31 saat di hadapan Carapaz.
Carapaz, yang pernah menjuarai Giro dan meraih emas dalam acara jalan raya Olimpik, mengakui prestasinya merosot sejak beberapa musim lalu. – AFP
