BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Persatuan Outreach Komuniti dan Latihan (SCOT) dengan kerjasama Bank Standard Chartered (SCB) telah melancarkan bengkel tiga hari bagi Belia Menentang Kemiskinan untuk Futuremakers.
SCB dalam kenyataannya menjelaskan, menerusi bengkel yang menyasarkan usahawan-usahawan muda itu, para peserta akan dapat merumuskan idea-idea perniagaan yang bermatlamat untuk menghapuskan isu-isu sosial dan idea-idea terbaik akan diberikan $10,000 bagi pemenang pertama dan $5,000 bagi pemenang kedua atas tajaan SCB.
Dengan bimbingan daripada ahli-ahli panel dan mentor dari industri, para peserta diharap akan dapat membangunkan idea-idea perniagaan mereka untuk menentukan kejayaan mapan projek.
Hadir pada bengkel tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif SCB, Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim yang turut menjadi panel bengkel bersama speaker serantau dari Five Pillar Foundation, Wiraguna Putu dan Sheila Jaya dari MyHarapan.
SCB dalam kenyataannya menjelaskan, Futuremakers oleh Standard Chartered adalah inisiatif global baharu bank berkenaan untuk mengatasi ketidaksamaan dan mempromosikan lagi keterangkuman ekonomi.
Inisiatif berkenaan bermatlamat untuk memperkasa orang-orang muda dengan peluang-peluang pendidikan, pekerjaan dan keusahawanan.
Ini selaras dengan program Belia Menentang Kemiskinan SCOT yang bertujuan untuk menggalakkan para belia memikirkan idea-idea perusahaan sosial yang boleh membantu mengurangkan isu-isu dan cabaran yang dihadapi oleh belia daripada keluarga yang kurang bernasib baik, sekali gus membantu mereka belajar, meraih pendapatan atau berkembang.
Belia Menentang Kemis-kinan adalah siri keempat bengkel SCOT yang bermatlamat untuk mendidik para belia supaya peka akan isu-isu sosial yang ada dan memperkasa mereka untuk merangka dan merancang idea-idea keusahawanan bagi mengatasi isu-isu sosial dan membangunkan sebuah perusahaan sosial.
