Friday, July 25, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    SCB Brunei umum CEO baharu

    BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Mac – Bank Standard Chartered (SCB) Brunei, hari ini, telah mengumumkan pelantikan Pengiran Aki Ismasufian bin Pengiran Haji Ibrahim sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) francais bank di Brunei.

    Beliau mengambil alih daripada Anirvan Ghosh Dastidar yang akan memegang jawatan sebagai CEO Standard Chartered Bank Nepal Limited, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh SCB Brunei.

    Kenyataan menjelaskan, Pengiran Aki Ismasufian merupakan pegawai bank kanan dengan lebih daripada 20 tahun pengalaman kerjaya setelah menyertai SCB pada April 2012 sebagai ketua inisiatif-inisiatif strategik korporat.

    Pada Disember 2016, beliau dilantik sebagai ketua negara, perbankan global dengan tanggungjawab bagi perniagaan perbankan korporat Standard Chartered.

    Sebelum menyertai SCB, beliau merupakan penolong CEO di Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) di mana portfolionya termasuk mengetuai bahagian pelabuhan langsung asing, bahagian perhubungan pihak berkepentingan serta pejabat pengerusi.

    CEO baharu SCB Brunei, Pengiran Aki Ismasufian.

    Menurut kenyataan itu lagi, Pengiran Aki Ismasufian memulakan kerjayanya dengan HSBC sebagai sebahagian daripada pasukan perbankan runcit. Beliau mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan projek-projek strategik kebangsaan penting yang dilaksanakan oleh LKEB, bertugas sebagai penganalisis perniagaan, menguruskan perhubungan pihak berpentingan utama dan awam, serta perhubungan pemasaran.

    CEO Vietnam dan Pasaran Kluster ASEAN dan Asia Selatan, Nirukt Sapru dipetik mengucapkan terima kasih kepada Anirvan atas sumbangannya bagi perniagaan di Brunei.

    “Beliau telah mengemudi pertumbuhan francais melalui kejayaan penting 60 tahun di Brunei sementara menyelia transformasi perniagaan. Kami tidak sabar untuk melibat kepimpinan Pengiran Aki bagi francais Brunei dan mengukuhkan hubungan rangkaiannya,” tambah beliau.

    Sementara itu, Pengiran Aki Ismasufian pula berkata, “Saya sangat berbangga dan teruja dengan peluang ini sebagai rakyat Brunei untuk memimpin bank antarabangsa terbesar di sini. Kami bukan sahaja mempunyai kehadiran di seluruh 10 pasaran ASEAN, cawangan kami meliputi lebih 60 pasaran di seluruh dunia.

    “Kekuatan rangkaian kami dan kepelbagaian tenaga kerja yang berbakat menempatkan kami dalam kedudukan baik untuk membantu rakan-rakan dan klien mengembangkan perniagaan ke luar negara pada masa yang sama menyokong matlamat Brunei untuk mempelbagaikan ekonominya dengan menarik pelaburan langsung asing ke dalam negara,” ujarnya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda