Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Bank Standard Chartered (SCB) Brunei tidak ketinggalan memeriahkan Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) yang memasuki hari ke-13 dengan menjemput ahli-ahli korporatnya ke Majlis Rumah Terbuka TBC SCB 2018, hari ini.
Majlis yang diadakan di Restoran Li Gong, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong itu dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, para pelanggan, ahli perniagaan, ahli korporat, duta-duta besar dan pesuruhjaya tinggi luar negara yang berada di Negara Brunei Darussalam serta rakan-rakan bank merangkumi 600 jemputan yang dialu-alukan oleh Ketua Pegawai Eksekutif SCB Brunei, Anirvan Dastidar.
Anirvan Dastidar dalam ucapannya antara lain menyatakan bahawa 2018 adalah tahun penting bagi SCB, yang mana mereka akan mencapai dan melangkah perjalanan ke-60 tahun di Brunei.
“Sebagai satu-satunya bank antarabangsa di Brunei dengan kehadiran di 10 buah negara ASEAN, kami terus komited untuk memacu perniagaan dan kemakmuran di Brunei dan komited kepada masa depan kami di sini,” tambahnya.

