Wednesday, October 9, 2024
29 C
Brunei

    Berita Terkini

    SCBRC, Beach Bunch kutip 500kg sampah di Pantai Jerudong

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Bandar Seri Begawan, 8 OKT – Sekitar 500kg sampah berjaya dikutip semasa aktiviti pembersihan pantai di Pantai Jerudong, yang dianjurkan oleh Kelab Rekreasi Bank Standard Chartered (SCBRC) Brunei dan Beach Bunch Brunei pada 29 September lalu.

    Acara itu merupakan sebahagian daripada inisiatif sukarelawan kakitangan Bank Standard Chartered (StanChart), melibatkan penyertaan 20 individu, termasuk kakitangan bank serta keluarga dan rakan-rakan dalam usaha untuk mencantikkan landskap semula jadi Brunei dan memastikan pantai-pantai kekal bersih. Antara lain tujuan pembersihan pantai itu adalah untuk memupuk kesedaran alam sekitar dan penglibatan komuniti dalam kalangan kakitangan, selaras dengan nilai-nilai StanChart mengenai kelestarian dan tanggungjawab sosial serta memberi kesan positif kepada persekitaran. Inisiatif tersebut menyumbang kepada pemeliharaan pantai Brunei, menekankan kepentingan menjaga kebersihan pantai dan memelihara alam sekitar. Pengerusi SCBRC, Dayangku Sri Zarith Zarina, mengatakan, “Ia adalah peluang yang hebat untuk berkumpul sebagai komuniti bagi melindungi dan menjaga persekitaran semula jadi.

    “Bekerjasama dengan Beach Bunch Brunei membolehkan kami memberi sumbangan bermakna kepada pemeliharaan pantai kita. Saya berbangga dengan pasukan kami dan mereka yang mengambil bahagian di mana setiap usaha kecil adalah penting dalam melindungi alam sekitar kita,” ujarnya.

    Pembersihan pantai di Pantai Jerudong adalah salah satu daripada banyak aktiviti sukarelawan yang dianjurkan oleh StanChart sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian alam sekitar dan penglibatan komuniti. Melalui acara seperti itu, StanChart berhasrat dapat mencipta impak positif yang berkekalan dan memupuk budaya kepedulian dan tanggungjawab.

    Gambar ramai peserta yang terlibat dalam kempen pembersihan tersebut. – GAMBAR SERAHAN BANK STANCHART
    Sebahagian daripada peserta sedang menjalankan aktiviti pembersihan berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BANK STANCHART

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda