Monday, January 27, 2025
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Scha Alyahya sukar terima pemergian ibu

    Bukan mudah menerima hakikat kehilangan insan tercinta, pelakon Scha Alyahya mengambil masa agak lama kembali menjalani aktiviti harian selepas pemergian ibunya pada 7 Disember lalu.

    Scha atau Sharifah Nor Azean Mahadzir, 42, berkata, kekuatan daripada suami, keluarga dan rakam-rakan membuatkan dia kembali bangkit dan tidak lagi hanya terperap di dalam rumah.

    Kata Scha, pemergiaan ibunya iaitu Junainah Hasim bukanlah satu hakikat mudah diterima memandangkan hubungan mereka sangat akrab.

    “Saya okey Alhamdulillah, hari demi hari menjadi lebih kuat dan yakin untuk keluar.

    “Ada rakan beritahu sudah sebulan saya tak keluar rumah, jadi benda itu buat saya fikir sudah tiba masa untuk kutip semula semangat dan move on.

    “Saya memang sangat rapat dengan arwah mak. Bila dia tiada, memang satu kehilangan yang besar,” katanya kepada mStar.

    Scha berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis pelancaran butik Amber yang diadakan di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada Sabtu.

    Dalam pada itu, Scha memberitahu adakalanya dia terlupa bahawa ibunya sudah tiada kerana sudah terbiasa membuat panggilan video setiap hari dengannya.

    Malah menurut pelakon drama Awan Dania ini, Junainah pernah memberitahu bimbang memikirkan keadaan aktres berkenaan seandainya dia sudah tiada lagi.

    “Sebelum ini, arwah pun pernah pesan pada adik saya, kalau dia sudah tiada nanti, dia akan paling risaukan saya.

    “Sebelum ini, setiap kali habis penggambaran, benda pertama saya lakukan ialah hubungi arwah mak tetapi sekarang tak boleh buat lagi.

    “Kini, adakalanya saya terlupa, nak hubungi tetapi dia sudah tiada. Ini satu ujian perit. Mahu atau tidak, kena harungi,” ujarnya. – Agensi

    Scha mengambil masa agak lama untuk keluar rumah selepas pemergian ibu. – mStar
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda