Pengakuan Scha Elinnea yang mendakwa janji temu dengan pakar psikiatri menjadi rutin mingguan seperti diluahkan melalui Instagram (IG) Story, mengejutkan peminat.
Scha atau nama sebenar, Nur Azleen Natasha Mohamed Mubeen mengaku mengalami gangguan mental kronik yang memaksanya mendapatkan bantuan pakar sakit jiwa. Tanpa berselindung, pelakon drama SiTiktok itu mengesahkan masalah dialami berpunca kemurungan teruk. Sehubungan itu, sejak Jun lalu, Scha memastikan janji temu dengan doktor setiap minggu dipenuhi.
“Jika diikutkan, sudah lama saya berdepan situasi ini. Mungkin ditambah dengan situasi semasa pandemik COVID-19 membuatkan saya banyak berfikir bukan-bukan.
“Selama ini, keadaan dianggap terkawal. Hanya kebelakangan ini menjadi agak teruk… Hendak tidur pun sukar.
“Saya jadi takut dan cemas apabila berjumpa ramai orang. Malah lebih membimbangkan, kalau saya duduk sendirian, perasaan itu menjadi-jadi. Takut hingga boleh menangis sendirian,” katanya.

Scha berkata, sebagai langkah berjaga-jaga, teman baiknya datang menemani di rumah.
“Selama ini, saya tinggal sendirian. Dengan situasi sekarang, saya perlu ditemani kawan. Saya juga kena makan ubat yang disarankan doktor setiap hari.
“Saya tidak boleh tinggalkan ubat. Doktor berpesan kena ambil ubat sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.
Gadis kelahiran Kelantan dan membesar di Kedah itu mengaku mengambil ubat penenang jika ada komitmen kerja termasuk penggambaran drama.
“Selama ini, saya rahsiakan penyakit ini. Saya cuba nampak kuat, walaupun hakikatnya berperang kesakitan dalaman.
“Lama-kelamaan saya tidak boleh simpan dan pendam lagi. Saya harus jujur dan menyatakan masalah yang dihadapi ini. Bagaimanapun, pendedahan ini bukan untuk membebankan sesiapa,” katanya.
Ketika ini, Scha memberitahu, dia tidak terikat dengan kerja seni.
“Saya ambil masa sebaik mungkin untuk berehat. Akhir bulan ini, jika tiada aral melintang, saya akan ‘terbang’ ke Korea bagi melakukan penggambaran sebuah program terbitan TV3,” katanya. – Agensi