HOUSTON, 23 MEI – Pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler, memulakan usahanya untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan catatan kukuh dua bawah par, 68, pada pusingan pertama Kejohanan Charles Schwab anjuran Jelajah PGA di Fort Worth, Texas, kelmarin.
Selepas tamat pusingan pertama di Colonial Country Club, pemain Amerika Syarikat, John Pak, mendahului dengan kelebihan tiga pukulan selepas mencatat tujuh bawah par, 63.
Scheffler kembali ke negeri asalnya selepas merangkul kejuaraan utama kedua musim ini, Kejohanan PGA, dengan kelebihan lima pukulan pada Ahad lalu.
Pemenang dua kali Masters itu memasuki kejohanan tersebut selepas meraih kemenangan bergaya dengan kelebihan lapan pukulan di CJ Cup Byron Nelson dan jika menang minggu ini, dia akan menjadi pemain pertama sejak Dustin Johnson pada 2017 yang memenangi tiga kejohanan berturut-turut.
Aksi Scheffler bermula cemerlang dengan eagle di lubang pertama, par lima, diikuti birdie di lubang kedua, namun dia tergelincir dengan bogey di lubang ketiga, par empat.

Permainannya di sembilan lubang belakang agak biasa, mencatat birdie di lubang ke-11 dan bogey di lubang ke-16, dan dia mengakui menghadapi kesukaran memukul dari tee.
“Ia adalah hari yang mencabar. Saya tidak banyak memukul bola ke fairway.
Di padang golf seperti ini, anda mesti berada di fairway. Saya berjaya juga mencatatkan skor yang baik dan berharap esok pagi saya dapat bermain dalam keadaan padang yang lebih lembut dan memanfaatkannya,” katanya mengenai permulaan awalnya pada Jumaat.
“Saya cuba untuk bersabar hari ini. Ia memang hari yang memenatkan. Angin bertiup agak kencang dan keadaan sangat mencabar. Green juga menjadi keras.
“Nampaknya kita tidak akan menerima banyak hujan minggu ini, jadi keadaan green akan terus menjadi lebih keras dan padang ini akan berada dalam keadaan yang sangat baik menjelang hujung minggu,” tambahnya lagi. – AFP