PORTRUSH, 20 JULAI – Pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler membawa kelebihan empat pukulan ke pusingan akhir Kejohanan Terbuka British hari ini, sekali gus meleburkan harapan wira tempatan Rory McIlroy untuk mencipta satu keajaiban.
McIlroy menyifatkan aksi cemerlang pencabar dari Amerika Syarikat itu sepanjang tiga hari pertama di Royal Portrush sebagai sesuatu yang ‘tidak dapat dielakkan’, memandangkan prestasi konsisten Scheffler yang telah pun memenangi Kejohanan PGA tahun ini.
Setiap kali mendahului selepas 54 lubang, Scheffler berjaya menjuarai sembilan kejohanan terakhirnya, dan hanya kemerosotan mendadak atau kebangkitan luar biasa daripada pemain lain yang mampu menggagalkan impiannya untuk merangkul gelaran major keempat.
Li Haotong merupakan pencabar terdekatnya dengan catatan 10 di bawah par dan kini mengintai peluang mencipta sejarah sebagai pemain lelaki pertama dari China memenangi kejohanan major.
Matthew Fitzpatrick berada di kedudukan ketiga, lima pukulan di belakang, selepas tergelincir di sembilan lubang terakhir kelmarin. McIlroy pula dilihat sebagai ancaman terbesar kepada kejuaraan Scheffler, ketika juara Masters itu berusaha mengekalkan momentum di hadapan penyokong sendiri di padang yang hanya terletak 60 batu dari tempat beliau mula bermain golf di pinggir Belfast.

Sepanjang Sabtu, ribuan penyokong mengikuti setiap gerakan McIlroy dengan penuh semangat.
Tiga birdie di empat lubang pembukaan dan satu eagle di lubang ke-12 melonjakkan pemain nombor dua dunia itu kepada catatan 66 pukulan dan berkongsi kedudukan keempat.
Namun, juara Terbuka British 2014 itu masih ketinggalan lapan pukulan di belakang pendahulu, satu jurang yang diakui sendiri sukar untuk dirapatkan memandangkan tahap permainan Scheffler yang begitu tinggi.
“Scottie Scheffler memang sukar untuk ditewaskan. Walaupun dia tidak berada pada prestasi terbaik, dia tetap pemain yang hebat,” kata McIlroy.
“Dia bermain seperti Scottie. Tiada yang mengejutkan. Semua orang sudah lihat bagaimana dia bermain sejak dua atau tiga tahun lalu. Dia amat konsisten dan tidak banyak melakukan kesilapan.”
Scheffler mengejutkan ramai pihak ketika sesi media sebelum kejohanan apabila menyatakan kehidupannya ‘tidak begitu memuaskan’ walaupun dengan kejayaan dan kedudukannya dalam dunia golf. – AFP