CHICAGO, 30 Mac – Bintang Jerman Bastian Schweinsteiger yang tiba di sini semalam, sudah bersedia membuat penampilan sulung di Liga Bola Sepak Major (MLS) bersama Chicago Fire, Sabtu ini jika tersenarai.
“Saya berusia 32 tahun. Saya bersedia namun memerlukan lebih banyak sesi latihan bagi mendapatkan rentak yang betul, untuk menjadi di mana saya lihat diri saya berada,” kata Schweinsteiger kepada wartawan ketika majlis pengenalan rasminya bersama kelab itu.
“Fikiran saya ketika ini lebih daripada 100 peratus. Saya agak selesa. Sesi agak tegang hari ini dan saya dapat menempuhnya jadi saya berada dalam keadaan baik.
“Saya melakukan persiapan sebelum saya datang ke sini, sudah tentu, saya memerlukan beberapa hari untuk berlatih namun saya rasa saya bersedia tidak kira bila jurulatih mahukan saya,” kata bekas pemain Bayern Munich dan Manchester United itu.
Chicago dijadual bertemu Montreal Impact, Sabtu ini. Schweinsteiger yang menjadi antara tonggak utama Jerman memenangi Piala Dunia 2014 mengesahkan perpindahannya ke MLS, minggu lalu selepas bergelut untuk mendapatkan tempat di United.

Mengulas perpindahannya ke MLS yang dianggap agak pantas, pemain tengah itu tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya di Old Trafford.
“Ia bukan mudah kerana keputusan yang dibuat agak lewat, maka saya tidak dapat mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukan,” kata Schweinsteiger.
“Mereka juga mengharungi perlawanan di tempat lawan, jadi saya tidak dapat memberitahu mereka kerana tidak mahu mereka fokus terhadap saya. Saya berasa hebat di sana terutama dengan rakan sepasukan dan staf.” – AFP