Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Maju Motors Sdn Bhd selaku pengedar tunggal kereta jenama Volkswagen (VW) di Brunei telah menawarkan barisan model Scirocco terbaru pada acara media di restoran Anjung Layar Luncur, Pantai Serasa, pagi tadi.
Scirocco R-Line masih mengekalkan reka bentuk moden dan agresif seperti Scirocco sebelum ini namun dilengkapi dengan Pakej R-Line termasuk bampar depan dan belakang R-Line, skirt sisi R-Line dan lambang R-Line di dalam dan luar kereta.
Dimuatkan enjin TSI 1.4 liter yang mampu menjana 160 kuasa kuda dan tork 240Nm, Scirocco pasti memberi prestasi pemanduan yang memuaskan dan lebih menyeronokkan ia dilengkapi kotak gear DSG yang cekap. Ciri-ciri standard model berkenaan termasuk lampu depan Xenon dengan lampu siang LED berasingan, selain itu ia didatangkan dengan sistem penyaman udara ‘Climatronic’ dengan kawalan suhu dua zon yang memberikan kawalan suhu sepenuhnya bagi keselesaan penumpang dan pemandu.

Menurut Pengurus Pemasaran Maju Motors, Pengiran Ammirul Ammar Adnan, Scirocco menampilkan reka bentuk baru terutama tambahan Pakej R-Line.
“Walaupun syarikat kami hanya mempamerkan spesifikasi dan prestasi kereta tersebut adalah lebih baik untuk menjalankan uji pandu untuk memahami kenapa ramai tertarik dengan Scirocco.
“Jadi, ambil lah peluang ini untuk menjalankan uji pandu VW Scirocco di Bilik Pameran Maju Motors VW, di Kampung Telanai,” ujarnya.