Wednesday, October 16, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Scotland kecewakan Portugal

    GLASGOW, 16 OKT – Scotland mengecewakan Cristiano Ronaldo dan Portugal apabila seri 0-0 di Hampden Park awal pagi tadi sekali gus mengelak kekalahan kelima berturut-turut dalam perlawanan kompetitif buat kali pertama.

    Tuan rumah memerlukan satu tindakan penyelamat luar biasa Craig Gordon bagi menafikan Bruno Fernandes menjaringkan gol kemenangan pada lewat aksi dan bertahan untuk memastikan mata pertama mereka dalam divisyen utama Liga Negara-Negara.

    Portugal kekal di tangga teratas Kumpulan A1 tetapi terpaksa menunggu bagi mengesahkan tempat ke suku akhir Mac depan.

    Dalam penampilan ke-216 di peringkat antarabangsa, Ronaldo diturunkan buat kali ke-200 dalam kesebelasan utama, lebih daripada 21 tahun selepas penampilan sulungnya.

    Bagaimanapun, pemain berusia 39 tahun itu gagal menokok 133 golnya bersama Portugal dan meninggalkan padang selepas wisel penamat dengan membebel terhadap pegawai perlawanan.

    Scotland hanya menang satu daripada 16 perlawanan terakhir mereka – kemenangan 2-0 pada aksi persahabatan ke atas Gibraltar Jun lalu – dan kekal tanpa sebarang kemenangan dalam perlawanan kompetitif bagi tempoh lebih setahun.

    Namun anak buah Steve Clarke berjuang hebat untuk mengekang lawan di Glasgow.

    Malah Scotland mendapat peluang terbaik pada babak pertama dalam lima minit pertama apabila Scott McTominay menanduk terlalu dekat dengan Diogo Costa dari sudut sukar.

    Pemain Portugal, Francisco Conceicao merembat tinggi pada babak kedua selepas mendapat hantaran Ronaldo.

    Ronaldo kemudian menyaksikan percubaannya tersasar sedikit selepas meloloskan diri daripada kepungan pemain pertahanan Scotland. – AFP

    Aksi Ronaldo semasa perlawanan Liga Negara-negara di Stadium Hampden Park di Glasgow, baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda