Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Scotland tewaskan Greece, tingkat peluang ke Piala Dunia

    GLASGOW, 10 OKT – Scotland meningkatkan usaha mereka untuk layak ke Piala Dunia apabila gol antarabangsa pertama Lewis Ferguson membuka jalan kepada kemenangan penting 3-1 ke atas Greece di Glasgow kelmarin.

    Pasukan yang dikendalikan oleh Steve Clarke ketinggalan selepas Kostas Tsimikas menjaringkan gol pada minit ke-62 di Stadium Hampden.

    Namun, Ryan Christie menyamakan kedudukan dalam tempoh dua minit, dan Ferguson meraikan penampilan ke-19nya dengan gol sulung 10 minit sebelum tamat permainan.

    Pemain gantian, Lyndon Dykes melengkapkan kebangkitan itu pada masa kecederaan ketika Scotland yang berada di tangga kedua kekal berkongsi mata dengan pendahulu Kumpulan C, Denmark serta empat mata di hadapan Greece.

    Memburu penampilan pertama di Piala Dunia sejak 1998, Scotland akan menentang Belarus di laman sendiri dalam perlawanan seterusnya pada Ahad.

    Scotland meningkatkan usaha mereka untuk layak ke Piala Dunia apabila gol antarabangsa pertama Lewis Ferguson membuka jalan kepada kemenangan penting 3-1 ke atas Greece di Glasgow. – AFP
    Lewis Ferguson (kiri) semasa perlawanan kelayakan Kumpulan C Piala Dunia 2026 di Stadium Hampden Park, Glasgow pada 9 Oktober. – AFP

    “Bola sepak adalah permainan 90 minit dan awda perlu pastikan menamatkan perlawanan dengan keputusan positif. Kemenangan 3-1 mungkin nampak agak besar untuk kami, tetapi kami lakukan yang cukup untuk menang,” kata Clarke.

    Greece sebelum ini menang 3-0 di Hampden pada Mac dalam perlawanan playoff Liga Negara-Negara dan mereka memulakan aksi dengan penuh keyakinan pada kepulangan mereka ke Glasgow.

    Vangelis Pavlidis sepatutnya meletakkan pasukan pelawat di depan selepas satu gerakan menarik pada awal permainan, namun percubaannya tersasar.

    Scotland kelihatan tidak tersusun ketika menguasai bola, sering menghantarnya jauh kepada Che Adams yang terasing di hadapan ketika Greece memberi tekanan.

    Scotland mendahului 10 minit sebelum tamat apabila sepakan percuma jauh Andy Robertson mencetuskan kekeliruan di benteng pertahanan Greece. Penjaga gol Greece, Kostas Tzolakis, menepis bola ke arah Dykes ketika cuba mengelakkan hantaran balik tandukan daripada keluar ke sepakan penjuru, dan penyerang Birmingham itu mudah menyudahkan ke gawang kosong. – AFP

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda