KUALA LUMPUR, 2 OGOS – Juara Golf Maybank 2019, Scott Hend akan membuat kemunculan sulung pada edisi kedua Kejohanan Sarawak di Kelab Golf & Country Damai, Kuching, dari 15 hingga 18 Ogos ini.
Bekas juara Jelajah Asia 2016 dari Australia itu, bagaimanapun, bakal berdepan dengan cabaran sengit daripada pemain lain terutama pendahulu Jelajah Asia, Jazz Janewattananond dari Thailand yang turut mengesahkan penyertaan pada kejohanan bernilai AS$300,000 itu.
“Sudah pasti ia akan menjadi pertarungan menarik dengan Jazz yang beraksi dengan baik dan keazaman saya untuk merangkul gelaran juara Jelajah Asia sekali lagi.
“Kejohanan Sarawak akan menjadi permulaan yang sibuk untuk saya dan berharap dapat merapatkan jurang dengan Jazz dengan hasil yang baik di sana,” kata Hend seperti dipetik dalam laman web Jelajah Asia www.asiantour.com.
Pemain berusia 45 tahun itu, yang kini menduduki tangga kedua dalam carta ‘Order of Merit’ Jelajah Asia di belakang Jazz, berkata Kejohanan Sarawak merupakan platform terbaik untuk beliau menghidupkan kembali zaman kegemilangannya setelah terlepas beberapa kejohanan akibat kecederaan tahun lalu.
Hend dan Jazz merupakan antara 156 pemain dari 22 negara yang akan memburu gelaran pada kejohanan yang diktiraf oleh Jelajah Asia di Malaysia itu selepas Kejohanan Maybank, Mac lalu. – Bernama
