SCSB tawar tiga dana baharu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Dana baharu dari Allianz Global Investors kini boleh didapati di Brunei melalui Standard Chartered Securities (SCSB).

Tiga dana baharu yang ditawarkan itu ialah Allianz Global Opportunistic Bond Fund, Allianz Thematica dan Allianz Global Intelligent Cities.

Ketua Pegawai Eksekutif SCSB, Brenda Low berkata, “Kami ingin membawa masuk satu set pelaburan yang dapat menjadi sebahagian daripada portfolio impian pelabur atau sebagai asas untuk pelabur baharu.”

Katanya lagi, “Ketika tawaran produk kami berkembang, kami ingin memastikan bahawa kami memberi tumpuan kepada kualiti dan pilihan untuk semua pelabur sekarang dan yang berpotensi.

“Dengan itu, SCSB memperkenalkan tiga dana baharu yang bersesuaian dengan portfolio mana-mana jenis pelabur”, jelasnya.

Dana terbaharu, Allianz Global Opportunistic Bond Fund, menekankan untuk memberikan pendapatan melebihi simpanan tetap dengan mengambil risiko rendah (turun naik) dan sesuai untuk pelabur berisiko rendah.

Sementara itu, Allianz Thematica melabur dalam ekuiti global dalam pelbagai tema dengan pulangan penanda aras, sesuai untuk pelabur yang agresif.

Selain dana tematik, SCSB telah menambah Allianz Global Intelligent Cities kepada rangkaian dana unit amanah untuk pelabur yang ingin mencari pelaburan jangka panjang berisiko dalam syarikat-syarikat yang akan mendapat manfaat daripada evolusi bandar pintar dan komuniti yang saling berhubung.

SCSB menawarkan produk pelaburan yang paling luas dengan lebih daripada 160 bon dan 60 jenis dana unit amanah dari lapan rakan kongsi firma dana serta sekumpulan 18 pengurus perhubungan berlesen, perunding kekayaan dan penasihat pelaburan. Pelabur berpotensi diminta untuk melengkapkan penilaian profil risiko pelanggan untuk memastikan mereka memahami risiko sebelum mendapatkan sebarang produk kekayaan.