Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 APRIL – Standard Chartered Securities (SCSB) telah dianugerahi gelaran Pengurus Kekayaan Terbaik untuk Digital CX oleh The Digital Banker untuk tahun kedua berturut-turut.
Anugerah tersebut mengiktiraf komitmen berterusan SCSB dalam menyediakan perkhidmatan pengurusan kekayaan digital yang cemerlang serta meningkatkan pengalaman pelanggan melalui penggunaan teknologi inovatif.
Pengiktirafan itu juga menekankan pembeza utama keupayaan pengurusan kekayaan, termasuk penyelesaian khidmat nasihat peribadi di mana platform SCSB menggunakan analisis data canggih untuk menawarkan nasihat pelaburan khusus dan pengurusan portfolio yang direka khas mengikut keperluan kewangan dan tahap risiko unik setiap pelanggan.
Sementara itu, pelanggan boleh mengakses portfolio pengurusan kekayaan dengan lancar melalui pelbagai saluran, termasuk aplikasi mudah alih, platform web dan konsultasi di cawangan, justeru memastikan pengalaman yang konsisten dan mudah.
Ciri-ciri utama lain termasuk maklumat dan laporan secara masa nyata, langkah-langkah keselamatan yang dipertingkatkan serta sokongan pelanggan berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif SCSB dan Ketua Perbankan Kekayaan dan Runcit Bank Standard Chartered Brunei, Brenda Low berkata, “Kami berbesar hati diiktiraf oleh The Digital Banker atas kecemerlangan pengalaman pelanggan digital kami buat tahun kedua berturut-turut.
“Anugerah ini merupakan bukti dedikasi berterusan kami terhadap inovasi dan komitmen untuk menyediakan pelanggan kami dengan perkhidmatan pengurusan kekayaan digital terbaik di pasaran.”
Sementara, Ketua Penyelesaian Kekayaan SCSB, Tan Chee Hau menambah, “Memenangi anugerah ini sekali lagi menekankan keupayaan pengurusan kekayaan digital kami dan usaha keras pasukan kami. Kami berasa bangga untuk menerajui industri dalam bidang ini dan akan terus menetapkan piawaian untuk pengalaman pelanggan digital,” katanya.
SCSB tetap komited dalam memacu inovasi dan kecemerlangan dalam pengurusan kekayaan, selain memastikan pelanggan menerima perkhidmatan dan sokongan tahap tertinggi dalam perjalanan kewangan mereka.
