Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    SCTSB taja Program Brunei Reef Ball

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – SC Tubular Solutions Sdn Bhd (SCTSB) menjadi penaja pertama bagi Program Brunei Reef Ball dengan tajaan sebanyak $39,950 bagi pelancaran SCTSB Reef Ball School Program.

    Menerusi program itu nanti, seramai 42 orang pekerja SCTSB dan 126 orang pelajar tempatan akan diajar mengenai cara-cara merangka bola terumbu, diberikan tunjuk ajar untuk menanam karang serta menggunakannya di laut terbuka di Pelong Rock dengan sokongan dari Jabatan Perikanan.

    Sehubungan itu, Majlis Penandatanganan Tajaan bagi SCTSB Reef Ball School Program berlangsung di Royal Brunei Yacht Club, Serasa, kelmarin.

    Hadir bagi menyaksikan majlis penandatanganan berkenaan ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Bernard Regnauld-Fabre dan Setiausaha Tetap di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab.

    Pada majlis berkenaan, menandatangani bagi Poni Divers ialah Ketua Pegawai Eksekutif Poni Divers, Awang Mohd Tahsin Wong bin Abdullah dan menandatangani bagi SCTSB ialah Pengurus Am SCTSB, Phil Grant.

    Awang Mohd Tahsin Wong dan Phil Grant semasa majlis penandatanganan tajaan bagi SCTSB Reef Ball School Program yang berlangsung di Royal Brunei Yacht Club, Serasa, baru-baru ini. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Dengan penandatanganan berkenaan, SCTSB berdiri teguh sebagai rakan kongsi kukuh bagi perlindungan laut dan terumbu karang menerusi pendidikan, kesedaran dan pemuliharaan marin.

    Program itu akan menggunakan sebanyak 120 bola terumbu yang mana setiap satu daripadanya adalah seberat kira-kira 20 kilogram, dengan enam karang akan ditanam bersama setiap bola terumbu, dalam tempoh enam bulan akan datang.

    Di samping itu, program itu juga menyaksikan penggunaan beberapa penyimpan data bawah air untuk memantau persekitaran air di tapak yang terlibat, termasuk kemasinan, O2 terlarut, suhu dan pemboleh-ubah lain setiap hari yang akan dimuat naik secara dalam talian untuk dikongsi dengan Jabatan Perikanan dan institusi pendidikan tempatan lain bagi penyelidikan.

    Reef ball adalah bola konkrit yang direka khas dan dibina tanpa sebarang rebar logam dengan bahan tambahan khas untuk menjadikannya mesra karang dan boleh bertahan sehingga 500 tahun di laut.

    Ia juga direka untuk dijadikan sebagai rumah bagi ikan dan membantu untuk memulihkan stok perikanan dan membina semula terumbu karang.

    Bola terumbu yang lebih besar sehingga 5 tan boleh dibina dan dikerahkan untuk membina terumbu buatan, bagi melindungi persisiran pantai daripada hakisan pantai dan menghalang kapal pukat tunda asing haram di laut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda