Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Dalam mengeratkan silaturahim dan kerjasama dalam bidang pendidikan, rombongan seramai 40 orang terdiri daripada pengetua, guru-guru, kakitangan dan pelajar Sekolah Dasar (SD) Bawamai Pontianak, Indonesia telah mengadakan lawatan ke Persatuan Guru-guru Melayu Brunei (PGGMB), kelmarin.
Kehadiran rombongan dialu-alukan oleh Pengerusi PGGMB, Haji Jamal bin Haji Kahar dan Naib Presiden PGGMB, Haji Badar bin Haji Ali, dan seterusnya membincangkan mengenai usaha kerjasama yang boleh dibuat untuk perkembangan sekolah.
Ketika berada negara ini dari 6 hingga 8 Julai, rombongan juga berpeluang mengadakan kunjungan hormat kepada Kuasa Usaha Interim Kedutaan Besar Republik Indonesia di Bandar Seri Begawan, Irwan Iding.
Semasa perjumpaan berkenaan, Irwan Iding menghargai usaha yang telah dilakukan oleh SD Bawamai Pontianak untuk meningkatkan kerjasama pendidikan.
Beliau juga difahamkan bahawa beberapa lawatan telah diadakan oleh kedua-dua buah negara, yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan kerjasama pendidikan dan berharap lawatan berkenaan dapat memberi manfaat kepada bidang pendidikan di Indonesia.
Pengetua SD Bawamai Pontianak, Hatta Abdulhaji berkata, “Tujuan lawatan ke Brunei adalah untuk dapat memberi dan menambah wawasan, pengalaman yang memberi impak positif kepada sekolah dan pelajar di Indonesia.”
Sepanjang berada di Brunei, rombongan berpeluang melawat Sekolah PGGMB di Sungai Akar dan melihat dengan lebih dekat sistem dan suasana pengajaran dan pembelajaran di sekolah tersebut.
Selain itu, rombongan turut melawat beberapa tempat menarik antaranya Istana Nurul Iman, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar ‘Ali Saifuddin, dan Muzium Alat Kebesaran Diraja.


