KUALA LUMPUR, 27 April – Sime Darby Auto Connexion (SDAC), rakan pengedar eksklusif Ford Motor Company di Malaysia, hari ini secara rasmi membuka kemudahan yang dinaik taraf, Sime Darby Auto Connexion (Kuching), Sarawak.
Outlet yang terletak di Jalan Rock itu direka bentuk mengikut piawaian ‘Jenama@Peruncitan’ global Ford, menempatkan khidmat jualan, penyenggaraan dan alat ganti di bawah satu bumbung untuk memenuhi segala keperluan pelanggan, menurut SDAC dalam kenyataan hari ini.
Kemudahan itu menampilkan ruang pameran yang mampu menempatkan enam kenderaan dan 13 ruang penyenggaraan dengan sistem pengangkat.
Pengarah Urusan SDAC, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata Sime Darby Auto Connexion (Kuching) merupakan satu lagi bukti jelas mengenai pelan pengembangan rangkaian dan peningkatan khidmat pelanggan.
“Ia membantu menyokong jumlah pelanggan yang pantas berkembang di Sabah and Sarawak,” katanya.
Pusat servis di SDAC Kuching itu dikendalikan oleh sepasukan juruteknik bertauliah serta dilengkapi peralatan diagnostik dan perkakasan khas, selain menyediakan bekalan alat ganti tulen sepenuhnya. – Bernama