Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘SDG jadi panduan mengubah dunia’

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan amalan tidak mampan memerlukan tindakan segera dan penyelesaian yang inovatif.

    Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu boleh berfungsi sebagai panduan ke arah masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampan.

    SDG juga bukan sekadar cita-cita yang tinggi tetapi seruan untuk bertindak mengubah dunia dan memastikan kesejahteraan manusia dan planet ini. Dengan mengamalkan prinsip kemampanan, keterangkuman dan inovasi, kita boleh bekerjasama untuk mencapai matlamat ini dan mencipta dunia yang lebih baik untuk generasi akan datang.

    Perkara berkenaan telah dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad semasa berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Perasmian Universiti Brunei Darussalam – ASEAN University Network (UBD-AUN) Summer Camp 2024 hari ini yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro-Canselor, UBD.

    “Transformasi digital muncul sebagai powerful enabler untuk kemampanan yang berpotensi untuk merevolusikan cara memantau, mengurus dan memulihara biodiversiti, serta memacu kecekapan dan ketelusan dalam usaha pembangunan mampan,” tambahnya.

    Dr Haji Azman semasa berucap pada Majlis Perasmian Universiti Brunei UBD-AUN Summer Camp 2024. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Dr Haji Azman turut berkata daripada kecerdasan buatan (AI) dan analitik data besar kepada penderiaan jauh dan teknologi blockchain, alatan digital ini menawarkan peluang baru untuk menangani cabaran alam sekitar yang kompleks dan mempercepatkan kemajuan ke arah objektif kemampanan kita.

    “Biodiversiti, intricate web of life yang mengekalkan ekosistem dan menyediakan perkhidmatan penting kepada manusia, semakin terancam akibat aktiviti manusia, kemusnahan habitat dan perubahan iklim.

    “Kehilangannya bukan sahaja menjejaskan kemandirian banyak spesies tetapi menjejaskan kestabilan dan daya tahan planet kita. Penting untuk kita bertindak tegas melindungi dan memulihkan biodiversiti, memulihara habitat semula jadi dan menggalakkan amalan mampan yang menghormati keseimbangan alam semula jadi,” ujar beliau.

    Dr Haji Azman turut menjelaskan bahawa UBD telah berusaha melalui usaha akademik dan penyelidikan selama lebih tiga dekad melalui penyepaduan transformasi digital dan SDG ke dalam pengajaran dan penyelidikan dan lebih mengutamakan kemampanan.

    Oleh itu, tambahnya lagi, tema untuk perkhemahan musim panas ini adalah tepat pada masanya apabila pelajar menyelidiki Bandar Pintar dan Biodiversiti, AI Untuk Pemantauan dan Pemeliharaan Biodiversiti, Blockchain untuk Rantaian Bekalan Mampan dan Kejuruteraan Bioinspired. Semua hasil perbincangan akan dibentangkan pada hari terakhir perkhemahan.

    Dalam pada itu, Dr Haji Azman turut menggesa kepada semua untuk merebut peluang ini untuk membuat perubahan positif, menjadi pemangkin kepada perubahan, dan memperjuangkan nilai kemampanan, inovasi dan kerjasama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda