Selepas lapan tahun menjalinkan hubungan cinta, pasangan pelakon Se7en dan Lee Da Hae mengumumkan mereka bakal berkahwin pada 8 Mei depan.
Berkongsi khabar gembira tersebut, kedua-duanya menulis nota istimewa buat peminat yang dimuat naik di laman Instagram baru-baru ini.
“Saya akan berkahwin dengan kekasih saya pada 8 Mei ini. Dia sentiasa ada bersama saya dalam waktu sukar dan senang. Dia sentiasa menerima kekurangan saya.
“Mulai sekarang akan lebih bertanggungjawab kerana bakal bergelar suami dan menjadi ketua keluarga,” tulis Se7en.
Sementara itu bagi Lee Da Hae pula memberitahu meskipun bakal bergelar isteri dia lebih selesa untuk menggelarkan bakal suaminya itu sebagai teman lelaki.
“Saya akan terus panggil dia sebagai teman lelaki. Tetapi saya akan jadi isteri yang memberi sokongan. Dia lelaki yang sentiasa ada bersama saya dan tempat saya bergantung. Dia akan menjadi pasangan saya selamanya.
“Kami akan menjadi lebih bahagia dengan restu peminat semua,” ujarnya. – Agensi
