Wednesday, May 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Sea-Lion perkenal versi terbaharu model

    SINGAPURA, 6 MEI – Model bahasa besar (LLM) tempatan Singapura, Sea-Lion, mendapat sambutan menggalakkan dengan lebih 235,000 muat turun setakat ini, dipacu oleh penggunaan oleh syarikat besar seperti GoTo Group di Indonesia.

    Selepas melancarkan versi terbaharu model itu dengan keupayaan ‘penaakulan’ pada 15 April lalu, para penyelidik di AI Singapore memberitahu The Straits Times, mereka merancang untuk menambah ciri pengecaman suara menjelang akhir 2025, diikuti dengan ciri-ciri lain seperti pengecaman visual.

    Ciri baharu ini dijangka meningkatkan kegunaan model tersebut di rantau yang kaya dengan bahasa pertuturan dan bahasa yang tidak bertulis. Buat masa ini, Sea-Lion mengenal pasti 13 bahasa, termasuk Jawa, Sunda, Melayu, Tamil, Thai dan Vietnam, selain Bahasa Inggeris dan Cina.

    Sea-Lion telahpun digunakan oleh beberapa perniagaan kerana keupayaan linguistiknya, dengan GoTo menjadi antara syarikat terawal yang menggunakan Sea-Lion pada Februari 2024 sebagai asas untuk membangunkan sistem kecerdasan buatan (AI) mereka sendiri.

    Ketua Pegawai Data GoTo, Encik Ofir Shalev berkata, “Melatih model dari awal sering kali menelan belanja yang sangat tinggi. Maka, seperti ramai dalam industri ini, kami menggunakan pendekatan pra-latihan berterusan, membina berasaskan model sedia ada sebagai titik permulaan.”

    Model Sahabat-AI milik GoTo kini ditanda aras sebagai lebih tepat dalam membaca dan mentafsir Bahasa Indonesia, Jawa dan Sunda berbanding model lain yang bersaiz serupa, menurut Shalev. – ANN/ The Straits Times

    Pasukan Sea-Lion terdiri daripada (dari kiri) Cik Hamsawardhini Rengarajan, Dr Ngui Jian Gang, Dr Leslie Teo, Cik Leong Wai Yi, Encik Tai Ngee Chia (duduk) dan Encik David Ong. – ANN/The Straits Times
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda