Saturday, July 27, 2024
30.2 C
Brunei

    -

    SEAFAN berakhir dengan nada positif

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Wakil-wakil Bulan Sabit Merah dan Palang Merah dari Asia Tenggara, IFRC dan ICRC Rantau Asia Tenggara yang menyertai Mesyuarat Pertama Rangkaian Pertolongan Kecemasan Asia Tenggara (SEAFAN) menyatakan sokongan kepada Resolusi Bersama Bandar Seri Begawan yang menggariskan pelbagai bidang berkepentingan bersama.

    Mesyuarat selama tiga hari berkenaan berakhir dengan nada positif dengan persatuan-persatuan Bulan Sabit Merah dan Palang Merah di Asia Tenggara mengesahkan semula komitmen masing-masing kepada kesepaduan, kerjasama dan prinsip kemanusiaan sebagai anggota pergerakan Bulan Sabit Merah dan Palang Merah.

    Sehubungan itu, Majlis Resepsi Penutup Mesyuarat Pertama SEAFAN telah diadakan di Kompleks Annajat, Beribi, kelmarin.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil penyertaan kepada wakil-wakil persatuan yang menyertai mesyuarat berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

    Resolusi Bersama Bandar Seri Begawan yang disokong olah wakil-wakil persatuan Bulan Sabit Merah dan Palang Merah Asia Tenggara mengetengahkan lima perkara iaitu penubuhan Pusat Kecemerlangan Pertolongan Kecemasan Asia Tenggara yang merupakan sebuah hab ilmu pengetahuan pertolongan kecemasan bagi persatuan-persatuan kebangsaan dalam rantau Asia Tenggara.

    Haji Maswadi menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta yang menyertai Mesyuarat SEAFAN pertama. – Gambar serahan PBSM
    Antara yang menghadiri Majlis Resepsi Penutup Mesyuarat Pertama SEAFAN di Kompleks Annajat, Beribi, baru-baru ini. – Gambar serahan PBSM

    Ia merangkumi rangkaian pembelajaran rakan sebaya, memudahkan pertukaran pengetahuan dinamik, menyebarkan inovasi dan pengajaran kolektif daripada amalan pertolongan kecemasan yang disesuaikan kepada konteks unik rantau Asia Tenggara, yang akan dihoskan secara fizikal dan maya oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Brunei Darussalam.

    Resolusi itu juga mengetengahkan penubuhan sebuah komuniti pertolongan kecemasan bersatu melalui Rangkaian Pertolongan Kecemasan Asia Tenggara bagi membangunkan, mengukuhkan dan mengekalkan SEAFAN bagi mempromosi kolaborasi program pertolongan kecemasan antara rakan sebaya dalam kalangan semua persatuan kebangsaan rantau Asia Tenggara dengan sokongan daripada IFRC, GFARC dan Asia Pacific MHPSS Training & Learning Collaborative.

    Dalam usaha ke arah pengharmonian pertolongan kecemasan pula, bengkel-bengkel akan dianjurkan untuk mengharmonikan garis panduan pertolongan kecemasan yang berkonteks kepada persatuan-persatuan kebangsaan rantau Asia Tenggara termasuk pengintegrasian Pertolongan Kecemasan Psikologi (PFA) ke dalam garis panduan pertolongan kecemasan.

    Berhubung dengan pem-bangunan dan penyelidikan, sebuah jawatankuasa akan dibangunkan untuk mengumpul dan menganalisis amalan serta pengajaran berasaskan bukti berhubung pertolongan kecemasan dalam persatuan-persatuan kebangsaan Asia Tenggara.

    Sementara itu, berhubung pembangunan kapasiti pertolongan kecemasan, para peserta mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan Latihan First Aid Master bagi persatuan-persatuan kebangsaan dalam rantau Asia Tenggara dengan garis panduan pertolongan kecemasan yang diseragamkan oleh persatuan-persatuan kebangsaan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...