Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 JULAI – Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH telah mengadakan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Go Study Global Education, China yang berlangsung di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Gadong, hari ini.
Menandatangani bagi pihak SEAMEO VOCTECH ialah Pengarah Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dan dari Pihak Go Study Global Education adalah Pengurus Besar Go Study Global Education, Yu Qi.
Hadir selaku saksi pada majlis penandatanganan berkenaan ialah Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Profesional) dan Pakar Penyelidikan, SEAMEO VOCTECH, Dr Paryono, dan Pengarah Eksekutif, Go Study Global Education Republik Rakyat China, Qin Ziyan (Echo).
Majlis MoU berkenaan bertujuan untuk menjalankan kerjasama dalam bidang yang berkaitan dengan TVET, termasuk latihan kemahiran dan program pembangunan profesional, perkongsian kepakaran dan menyediakan bantuan tentang sumber pengajaran dalam pembinaan kapasiti, aktiviti pendidikan, latihan inovatif dan menyelaras serta mengekalkan rangkaian kerjasama untuk menarik lebih ramai rakan kongsi bagi bekerjasama pada masa hadapan.
Majlis menandatangani MoA merupakan susulan kepada perjanjian MoU antara SEAMEO VOCTECH dan Go Study Global Education pada 7 Ogos 2020 apabila usahasama dalam melaksanakan teknikal antarabangsa dan pendidikan dan latihan vokasional mula diwujudkan antara kedua-duanya organisasi.
Dalam ucapan alu-aluan Awang Alias, MoA ini adalah salah satu susulan daripada menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dari kedua-dua belah pihak pada Ogos 2020 yang memfokuskan kepada persidangan dan perkongsian maklumat.
Sebagai pusat serantau yang mengkhusus dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kami sentiasa mencari pendekatan terbaik dalam latihan kemahiran untuk memenuhi permintaan pasaran buruh.
“Sudah tiba masanya kami menawarkan latihan kemahiran yang relevan yang dituntut oleh industri yang boleh menangani pengangguran dan pada masa yang sama, mengukuhkan kerjasama serantau,” ujar Awang Alias.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah SEAMEO VOCTECH, pihak pengurusan, perunding, pegawai dan kakitangan serta peserta.