BANDAR SERI BEGAWAN, 30 NOV – Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan Pertubuhan Menteri-menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO HOM) ke-44 telah diadakan secara maya, hari ini, untuk melaporkan, membincangkan, dan merancang program, aktiviti dan operasi di bawah organisasi berkenaan.
Mesyuarat itu dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari negara-negara ahli SEAMEO dan turut dihadiri oleh pengarah-pengarah dari 23 Pusat Serantau SEAMEO dan rangkaiannya.
Mewakili Negara Brunei Darussalam ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.
Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan, mesyuarat berkenaan dimulakan dengan sesi tertutup dan diikuti dengan sesi pleno.
Mesyuarat telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan Thailand, Puan Yang Terutama Trinuch Thienthong yang telah menyampaikan ucapan pembukaan di mana beliau telah menyentuh mengenai kurikulum berasaskan kompetensi dan pembangunan literasi digital guru yang boleh disenaraikan sebagai keutamaan SEAMEO dalam meningkatkan hasil pembelajaran pelajar, menangani isu jurang digital, dan meningkatkan keberkesanan dalam pengajaran dan pembelajaran.
Antara perkara-perkara yang telah dibincangkan semasa mesyuarat tersebut termasuk pertimbangan permohonan ahli bersekutu SEAMEO yang baharu, laporan kewangan Sekretariat SEAMEO dan pusat-pusat serantau SEAMEO, cadangan rancangan kemajuan lima tahun beberapa pusat serantau SEAMEO serta cadangan dan laporan projek atau program SEAMEO yang lain.
Mesyuarat tersebut juga telah meluluskan beberapa cadangan kertas kerja yang akan dihadapkan kepada Majlis Persidangan SEAMEO yang akan datang.
Semasa mesyuarat berkenaan, negara-negara ahli SEAMEO berpelu-ang untuk membentangkan perkembangan terkini mengenai SEAMEO 7 Priority Areas Implementation di negara masing-masing terutamanya semasa wabak pandemik COVID-19.
Semasa pembentangan tersebut, Dr Shamsiah mengongsikan usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan bersama kementerian dan pertubuhan yang lain melalui Pendekatan Senegara dalam memastikan pembelajaran berjalan dengan lancar semasa pandemik ini.
