Sabtu, 22 November 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    SEAMEO VOCTECH anjur latihan menghadapi Industri 4.0

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OGOS – SEAMEO VOCTECH baru-baru ini telah mengadakan segmen latihan on-site Program Latihan Serantau mengenai ‘Mengukur Kesediaan Institusi Pendidikan untuk Industri 4.0 menggunakan Indeks Kesediaan Pendidikan SMART (SERI).’

    Program berkenaan disertai lebih 18 peserta dari 11 negara anggota SEAMEO dan termasuk bengkel dalam talian selama tiga hari bermula 12 Ogos hingga 14 Ogos, diikuti dengan sesi latihan on-site selama lima hari di Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH di sini dari 19 hingga 23 Ogos.

    Semasa segmen dalam talian, Dr. Chin Wei Keh, Timbalan Setiausaha Tetap untuk Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Brunei, telah bertindak sebagai fasilitator jemputan. Beliau turut memimpin sesi perkongsian mengenai kerangka SERI, memberikan peserta pandangan yang berharga tentang potensinya di peringkat kebangsaan di Brunei.

    Majlis perasmian latiah on-site berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Haji Norjemee bin Jenek. Acara ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Pusat, pegawai pengurusan, dan peserta program.

    “Setelah meneroka Indeks Kesediaan Pendidikan SMART (SERI) dalam fasa awal latihan, peserta kini akan mendalami metodologi yang akan membolehkan institusi peserta mengukur dan meningkatkan kesediaan mereka untuk Industri 4.0. Program latihan ini adalah komponen penting dalam komitmen berterusan SEAMEO VOCTECH untuk memajukan SERI dan memastikan pengambilannya yang meluas di seluruh rantau ini. Ia sejalan dengan Pelan Pembangunan Lima Tahun ke-7 pusat kami yang memberi tumpuan kepada ‘TVET Inklusif untuk Masa Depan Hijau dan Digital,” ujar Norjemee dalam ucapan aluan beliau.

    Dalam respons terhadap keperluan  kerajaan dan industri untuk membina dasar dan strategi yang sesuai demi memenuhi keperluan Industri 4.0, bengkel latihan ini direka  untuk membimbing peserta melalui penilaian pembangunan matriks .

    Beliau turut menambah bahawa, matriks ini akan menilai kesediaan institusi TVET untuk Industri 4.0 dan akan dibincangkan untuk penambahbaikan dan aplikasi selanjutnya di peringkat kebangsaan dan institusi.

    Gambar ramai Haji Norjemee bersama perserta latihan berkenaan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda