Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Mesyuarat Lembaga Pengarah Ke-36 Southeast Asian Ministers of Education Organisation Regional Centre for Technical and Vocational Education and Training (SEAMEO VOCTECH) telah diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, baru-baru ini.
Majlis pembukaan mesyuarat disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr. Rusmini binti Ku Ahmad.
Turut hadir, Pegawai Eksekutif SEAMEO Sekretariat, John Carlo Pineda Fernando; Naib Pengerusi SEAMEO VOCTECH, Dr. Ang Kiam Wee; Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Awang Haji Norjemee bin Jenek; ahli-ahli Lembaga Pengarah bersama wakil negara-negara anggota SEAMEO, rakan-rakan serantau serta wakil Kementerian Pendidikan Malaysia.

Mesyuarat yang diadakan setiap tahun itu merupakan platform strategik bagi menilai pencapaian pusat, menyelaras inisiatif dengan keutamaan pendidikan di peringkat kebangsaan dan serantau, selain menetapkan hala tuju bagi tahun fiskal akan datang.
Pada mesyuarat itu, ahli turut membincangkan kertas kerja yang dikategorikan untuk pengakuan, kelulusan, pertimbangan dan makluman bagi memastikan tadbir urus yang berkesan serta berpandukan maklumat yang tepat.
Bersempena mesyuarat berkenaan, SEAMEO VOCTECH dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia turut menganjurkan Regional TVET Conference yang telah diadakan pada 16 Oktober bertemakan “Digital and Green Transitions: Building an Inclusive TVET Ecosystem for Southeast Asia”.

Persidangan tersebut menekankan keperluan mendesak bagi sistem TVET menyesuaikan diri terhadap era pendigitalan dan peralihan hijau, ini sekali gus menyediakan platform dialog antara pembuat dasar, pendidik dan pemimpin industri.
Perbincangan tertumpu kepada pembaharuan TVET melalui inovasi, keterangkuman serta kerjasama serantau.
Di mesyarat itu turut mendengarkan perkongsian pandangan daripada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah SEAMEO bersama wakil-wakil dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), GIZ-RECOTwin, Labtech International, Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEX) serta UNESCO Jakarta.
Topik yang dibincangkan termasuk kemahiran digital dan hijau, latihan tenaga pengajar serta penjajaran TVET dengan keperluan industri semasa.

Turut serta dalam kalangan peserta ialah wakil SEAMEO SEN, UTM, Victron Venture Sdn. Bhd. dan National E-Commerce Vocational Education and Teaching Steering Committee (NCTEE) dari Republik Rakyat China, yang turut memperkayakan pertukaran ilmu dan memperkukuh kerjasama serantau.
Di mesyuarat itu, delegasi turut menyertai aktiviti keseimbangan kerja dan kehidupan termasuk lawatan budaya ke Kompleks Kraf Malaysia serta lawatan pendidikan ke Kolej Vokasional ERT Setapak.
Aktiviti tersebut memberi peluang kepada Ahli-Ahli Lembaga Pengarah untuk menjalinkan hubungan secara tidak formal, mengeratkan ukhuwah dan memupuk kesejahteraan holistik dalam kalangan delegasi.

