Tuesday, December 31, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    SEASC-14 labuh tirai

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Kongres Ukur Asia Tenggara (SEASC) ke-14 selama tiga hari, memberikan peluang kepada lebih 300 orang peserta untuk mengemas kini pengetahuan dan kefahaman para pakar dalam bidang geomatik dengan perkembangan teknologi masa kini serta juga mengeratkan kesefahaman dan kerjasama dan penyelidikan dalam kalangan para pakar bidang itu.

    Kongres itu juga menyaksikan pembentangan lebih 60 buah kertas kerja di mana negara tuan rumah, Negara Brunei Darussalam mengetengahkan sebanyak 20 buah kertas kerja.

    Kejayaan dan pencapaian kongres itu dikongsi oleh Presiden Institusi Geomatik (B.I.G) selaku Pengarah kongres, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan dalam ucapan penutupnya di Majlis Penutup SEASC Ke-14 yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada para peserta pameran kongres serta menyaksikan penyerahan bendera kongres kepada hos SEASC ke-15 ialah Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah.

    Pengiran Haji Matusin turut berkata bahawa kongres yang membawa tema ‘Merapatkan Jurang’ itu menyaksikan pembentangan kertas-kertas kerja oleh pelbagai pakar tempatan dan luar negara mengikut tema termasuk pentadbiran tanah, pengurusan sumber, pengurusan penilaian dan pengangkutan, pengurusan pembinaan dan pengangkutan, pengurusan sumber pantai dan marin, Falak Syarie, pengurusan perubahan iklim dan pengurusan risiko bencana, pembangunan institusi dan pembinaan kapasiti serta pendidikan dan pengiktirafan bersama.

    Haji Ali Bakar (kanan) menyerahkan bendera kongres kepada Peter Barratt (kiri) dengan disaksikan oleh Haji Muhammad Lutfi (tengah).
    Haji Ali Bakar (kanan) menyerahkan bendera kongres kepada Peter Barratt (kiri) dengan disaksikan oleh Haji Muhammad Lutfi (tengah).
    Haji Muhammad Lutfi menyampaikan cenderahati kepada para penerima di penutup Kongres SEASC Ke-14.
    Haji Muhammad Lutfi menyampaikan cenderahati kepada para penerima di penutup Kongres SEASC Ke-14.
    Pengiran Haji Matusin menyatakan bahawa kongres itu menyaksikan pembentangan lebih 60 kertas kerja oleh pembentang dari dalam dan luar negara.
    Pengiran Haji Matusin menyatakan bahawa kongres itu menyaksikan pembentangan lebih 60 kertas kerja oleh pembentang dari dalam dan luar negara.

    Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kongres itu di mana ia memberikan peluang serta menjadi platform perkongsian idea dan amalan-amalan terbaik yang akan dapat membantu peserta untuk mengamalkan, meningkatkan standard serta mengenal pasti isu-isu yang berkaitan dengan bidang masing-masing dengan cara yang bermakna, produktif serta memberikan manfaat kepada semua negara ahli.

    Majlis kemudian menyaksikan Haji Muhammad Lutfi menyampaikan cenderahati kepada pereka logo kongres dan peserta pameran semasa kongres berkenaan. Majlis diikuti dengan penyerahan bendera kongres daripada Juruukur Agung selaku Pengerusi Kongres, Haji Ali Bakar bin Haji Kasim kepada wakil negara penganjur SEASC ke-15 iaitu Darwin, Australia, Peter Barratt dengan disaksikan oleh Haji Muhammad Lutfi.

    Penyerahan bendera itu secara simboliknya melambangkan penutupan rasmi SEASC ke-14 dan bermulanya debaran bagi SEASC ke-15 yang akan berlangsung pada 2019 di Darwin, Australia.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda