Tuesday, May 13, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Seaweed Splash beri manfaat berganda

    SEMPORNA, 1 April – Penjual aiskrim berbasikal, Yusof Sugianto antara peniaga yang mendapat manfaat hasil penganjuran Gelombang Nelayan Nasional (GNN) 2018 : Seaweed Splash di sini sejak tiga hari lalu dan berakhir hari ini.

    Yusof, 21, dari Kampung Cina ketika ditemui Bernama berkata pendapatannya bertambah sekali ganda kepada RM170 jika ada sambutan festival atau acara besar diadakan di sekitar pekan Semporna.

    “Saya berniaga aiskrim sejak tiga tahun lalu dan hari biasa saya menjual aiskrim dari pukul 8.30 pagi sehingga 2 petang di sekitar sekolah serta pekan Semporna dan untung dalam RM70 ke RM100 tetapi jika ada acara besar seperti Seaweed Splash ini saya boleh untung berganda,” katanya.

    Beliau menjual sebatang aiskrim kon pelbagai perisa pada harga RM1 manakala RM1.50 untuk askrim roti.

    Peniaga belon, Mohd Khairil Azman Syah pula berkata acara besar yang sering dianjurkan agensi kerajaan di satu-satu kawasan membawa punca rezeki lebih besar kepadanya.

    Ahmad Shabery (empat kiri) menyampaikan replika cek Bantuan Sara Hidup Nelayan kepada Persatuan Nelayan Tawau sempena pelancaran GNN Kedua di Semporna, kelmarin. – Bernama

    Menurut Mohd Khairil yang berasal dari Telupid, Sandakan, penjualan belon yang diusahakan mampu mencecah RM700 sehari berbanding pada hari biasa RM200.

    “Satu belon saya jual bernilai RM5 ke RM8 bergantung kepada bentuk dan saiz belon,” katanya yang menjual belon sejak dua tahun lalu dan antara belon dijual ialah belon watak kartun animasi Upin Ipin dan Boboboi.

    Di samping itu, seorang peniaga popia berasaskan rumpai laut, Faiz Fazanatul Rosideh, 25, berkata program seperti Seaweed Splash itu menjadi platform untuk mempromosikan produk popia rumpai laut berperisa cheese, pedas dan biasa dengan harga RM5 hingga RM10.

    “Dalam acara besar ini selalu saya gunakan ‘taktik gerila’ iaitu berjalan sambil berjual dengan mendekati pelanggan,” katanya.

    Popianya turut dipasarkan sehingga ke Singapura dan kini dalam proses promosi di Padang, Indonesia, selain promosi dalam talian di agrobazar online.

    Faiz berkata, program Seaweed Splash adalah platform terbaik yang memberi manfaat kepada golongan sasar seperti komuniti nelayan dan pengusaha bertaraf domestik dan antarabangsa.

    GNN 2018: Seaweed Splash dirasmikan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek semalam yang turut dihadir kira-kira 5,000 anggota komuniti nelayan Semporna.

    Program tiga hari itu sejak Jumaat lepas dimeriahkan dengan pelbagai acara menarik antaranya seaweed explorace, ratu seaweed, seaweed buskers, jualan My Best Buy, selain pameran agensi kerajaan termasuk aset Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) serta penglibatan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC).

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendaftaran Sabah Datuk Ismail Ahmad berkata penglibatan Mobile CTC JPN sepanjang tiga hari program Seaweed Splash itu, berjaya mendekatkan JPN dengan penduduk Semporna.

    “JPN merekodkan kedatangan 126 orang membabitkan urusan 10 gantian MyKad, lima serahan MyKad, seorang permohonan MyKad (bagi 12 tahun) dan bakinya adalah pertanyaan dan khidmat nasihat,” katanya.

    Mobile CTC merupakan salah satu inisiatif kerajaan bagi menyatukan perkhidmatan pelbagai agensi dalam program bersepadu selaras dengan hasrat Kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan awam. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda