BANGKOK, 17 NOV – Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Mark Esper berkata hari ini AS dan Korea Selatan telah menangguhkan eksesais tentera bersama dalam ‘tindakan muhibah’ terhadap Korea Utara.
Langkah itu muncul ketika menteri pertahanan Jepun, yang negaranya merasa terancam oleh pelancaran peluru berpandu Korea Utara, memberitahu Esper ‘tidak sesiapa boleh optimis tentang’ merubah sifat Korea Utara.
Kenyataan daripada ketua pertahanan Jepun, Taro Kono, adalah ilustrasi sebenar mengenai kesukaran yang dihadapi oleh AS dan sekutu-sekutu antarabangsa serta rakan-rakannya ketika mereka bergelut untuk memujuk Korea Utara berbalik semula kepada rundingan bagi menyingkirkan senjata nuklear dan peluru berpandu.
Rundingan yang dilancarkan oleh Presiden Donald Trump pada 2018 telah tertangguh dan belum menunjukkan tanda-tanda penyambungan semula.
Esper mengumumkan penangguhan latihan tentera itu semasa sidang berita bersama rakan sejawatan Korea Selatan, Jeong Kyeong-doo. Mereka berada di Bangkok untuk menghadiri persidangan menteri-menteri pertahanan Asia.
Esper menekankan penangguhan itu bukan tanda konsesi kepada Korea Utara namun lebih kepada percubaan untuk ‘mengekalkan pintu terbuka’ ke arah diplomasi untuk menyingkirkan senjata nuklear Korea Utara.
“Saya lihat ia sebagai usaha baik oleh AS dan Republik Korea untuk keama-nan, untuk membentuk…..memudahkan persetujuan politik – satu perjanjian, yang membawa kepada penghapusan senjata nuklear semenanjung Korea,” Esper memberitahu wartawan. – AP
