STOCKHOLM, 23 Ogos – Bahagian utama badan seorang wanita tanpa kepala yang ditemui terapung-apung di perairan Denmark adalah milik seorang wartawan Sweden yang pihak berkuasa percaya telah meninggal dunia di dalam kapal selam, menurut polis hari ini.
“DNA badan itu menyamai DNA Kim Wall,” polis Denmark mengumumkan di Twitter, dengan mengatakan lebih banyak butiran akan diberikan pada sidang media pada pukul 9 pagi.
Bahagian utama badan wanita itu dengan kepala dan anggotanya sengaja dipotong, ditemui Isnin lalu di Teluk Koge, kira-kira 50km selatan Copenhagen.
Wall, 30 tahun, wartawan bebas yang membuat laporan bagi The Guardian dan The New York Times, tidak dilihat sejak menaiki kapal selam buatan Peter Madson dari Denmark pada 10 Ogos lalu untuk menemu bualnya.
Dia dilaporkan hilang sehari kemudian. Pada hari yang sama, Madsen diselamatkan dari perairan antara Denmark dan Sweden sejurus selepas kapal selamnya karam.
Madsen, yang laman sesawangnya menyifatkan dirinya sebagai “inventepreneur” (pembuat-usahawan) pada awalnya memberitahu pihak berkuasa dia telah menurunkan Wall di sebuah pulau lewat petang 10 Ogos.
Tetapi dia telah menukar ceritanya beberapa hari kemudian apabila dia dihadapkan ke mahkamah, dengan mengatakan Wall terbunuh dalam satu kemalangan di atas kapal itu dan dia telah membuang mayatnya di laut di lokasi yang tidak dijelaskan di Teluk Koge.
Sejak itu polis mengatakan mereka percaya Madsen, 46 ‘sengaja’ mengaramkan kapal selam itu. Kapal selam itu telah dibawa ke permukaan dan diperiksa, tetapi didapati kosong.
Para penyiasat tidak diyakinkan oleh cerita terbaru Madsen itu dan mensyaki dia mengakibatkan kematian. – AFP