BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Jabatan Kerja Raya (JKR) memaklumkan orang ramai terutama sekali pengunjung dan penduduk yang tinggal di sekitar kawasan Kampung Dadap bahawa sebahagian Jalan Dadap iaitu di Simpang 29-103 dan Simpang 135 akan ditutup sementara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan JKR, penutupan sementara bermula esok (1 Disember) hingga 27 Disember itu adalah untuk memberi laluan bagi perlaksanaan kerja-kerja menaik taraf ‘Box Culvert’ yang sedia ada di kawasan tersebut.
Penutupan tersebut akan melibatkan laluan trafik di persekitaran Kampung Dadap.
Para pengguna jalan raya serta penduduk yang tinggal di persekitaran kawasan berkenaan bolehlah menggunakan laluan alternatif yang sedia ada untuk menuju ke Jalan Tutong.
Di samping itu juga, para pengguna jalan raya dinasihati untuk sentiasa mengamalkan sikap bertolak ansur sesama pengguna jalan raya yang lain demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.
Sebarang aduan, orang ramai bolehlah menghubungi pihak jabatan melalui Talian Darussalam 123 / Livechat 8333123, Facebook Jabatan Kerja Raya, Brunei Darussalam dan e-mel pro@pwd.gov.bn.