SAN FRANCISCO, 1 APRIL – Pihak berkuasa menggesa pengguna jalan raya mengelak melalui Lebuhraya 1 California di sepanjang pantai tengah selepas sebahagian laluan indah itu runtuh semasa ribut hujung minggu lalu, memaksa penutupan dan pemandu terkandas berhampiran Big Sur, kata pihak berkuasa.
Runtuhan itu berlaku semasa hujan lebat Sabtu lalu berhampiran Jambatan Rocky Creek kira-kira 27 kilometer selatan Monterey, menyebabkan ketulan aspal jatuh ke lautan dari arah selatan jalan dua lorong itu.
Lebuh raya itu ditutup di kedua-dua arah di kawasan pergunungan pantai tengah California ketika jurutera menilai kerosakan, kata Jabatan Pengangkutan negeri, atau Caltrans.
“Kami sedang mengusahakan rancangan untuk memindahkan pemandu dari kawasan itu,” kata Peronda Lebuhraya California Sabtu lalu.
Kelmarin, kru telah menentukan perjalanan di lorong arah utara adalah selamat, dan pihak berkuasa mula mengiringi pemandu kenderaan di sekitar bahagian yang rosak secara berkala. Kira-kira 300 buah kereta sedang menunggu untuk melakukan perjalanan ke utara apabila para pegawai mengetuai konvoi pertama melalui kawasan itu, lapor San Francisco Chronicle.
Beberapa orang pemandu yang terkandas telah tidur di dalam kereta mereka semalaman manakala yang lain berteduh di Big Sur Lodge berhampiran, kata akhbar itu. – AP
